UVCell Solar, Iozela Data Center sepadukan projek hab tenaga dan pusat data | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UVCell Solar, Iozela Data Center sepadukan projek hab tenaga dan pusat data

Gambar/Eragene ICT
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 30 Dis - UVCell Solar dan Iozela Data Center menjalinkan kerjasama membangunkan dua projek utama melibatkan sebuah kompleks pusat data di Pulau Pinang dan untuk hab tenaga boleh diperbaharui yang menyeluruh di Pahang.

 

Kedua-dua projek itu akan menyumbang kepada matlamat kelestarian alam sekitar Malaysia, sambil memberi kesan positif kepada ekonomi tempatan dan memperkukuh kerjasama antarabangsa.

 

Pusat data di Pulau Pinang akan dibangunkan dengan fokus yang kuat terhadap kelestarian, menyepadukan kemudahan lengkap termasuk pejabat pengurusan, penginapan kakitangan dan ladang pertanian hijau yang direka untuk meningkatkan kesan keseluruhan terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

 

Tapak tersebut akan menggabungkan alam semula jadi dan teknologi, mewujudkan ekosistem yang peka terhadap alam sekitar.

 

Pusat data berkenaan juga akan memajukan kemudahan digital Malaysia sambil meminimumkan jejak karbon, berfungsi sebagai model teknologi yang mematuhi ESG dan menyokong hasrat negara untuk mengurangkan karbon.

 

Di Pahang, UVCell Solar akan membangunkan hab tenaga boleh diperbaharui yang menampilkan ladang solar dan biojisim yang mampu menjana 300-500MW tenaga bersih.

 

Ia boleh membekalkan tenaga untuk pusat data di Pulau Pinang dan kemudahan sekitarnya, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga tradisional dan mengurangkan pelepasan karbon.

 

UVCell Solar juga akan menubuhkan pejabat pengurusan di Pahang untuk memantau pembangunan dan operasi kemudahan tenaga boleh diperbaharui.

 

Gabungan teknologi solar dan biojisim itu akan membantu Malaysia mempelbagaikan lagi sumber tenaga dan meningkatkan keselamatan tenaga negara, sambil menyumbang kepada matlamat sifar pelepasan karbon negara.

 

Kerjasama tersebut melibatkan syarikat terkemuka dari seluruh dunia termasuk Jepun, China, Amerika Syarikat dan Singapura, untuk memastikan piawaian tertinggi dalam inovasi dan kepakaran. 

 

Rakan kongsi antarabangsa berkenaan akan membawa kepakaran teknologi canggih dalam tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur data dan kelestarian.

 

Majoriti tenaga kerja untuk kedua-dua projek itu bagaimanapun melibatkan pekerja tempatan, dengan fokus kepada latihan dan pengambilan profesional terlatih dari penduduk sekitar Pulau Pinang dan Pahang. 

 

Pendekatan itu bukan sahaja akan mewujudkan peluang pekerjaan, tetapi juga membantu membina kapasiti jangka panjang dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan digital Malaysia.

 

Projek-projek di Pulau Pinang dan Pahang tersebut akan membuktikan bagaimana teknologi hijau dan kemudahan digital boleh wujud bersama untuk mencipta masa depan yang lebih lestari.

 

Selain itu, kerjasama berkenaan juga akan membantu menarik pelabur asing ke Malaysia, mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab inovasi teknologi hijau di Asia Tenggara.

 

Kedua-dua syarikat komited untuk memastikan kejayaan projek tersebut, yang bukan sahaja akan memberi manfaat alam sekitar, tetapi juga memacu pertumbuhan ekonomi, mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan reputasi Malaysia sebagai destinasi pelaburan global untuk teknologi hijau. - DagangNews.com