KUALA LUMPUR 2 Dis – Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta sejarah tersendiri apabila menyapu bersih tiga kedudukan teratas pada Grand Finale Bursa Inter-Varsity Stock Challenge (BISC) 2025, dalam pertandingan yang menyaksikan penyertaan 850 pasukan dan hampir 1,300 pelajar daripada 10 universiti di seluruh negara.
Pada peringkat akhir, Chong Jia Hong dinobatkan sebagai juara, manakala Ponny Ling Hsing Yu dan Bryan Lim Wei Chin masing-masing muncul naib juara dan tempat ketiga.
Bursa Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pertandingan peringkat kebangsaan yang berlangsung dari Ogos hingga November 2025 itu terus membuktikan momentum peningkatan minat anak muda terhadap pasaran saham dan pelaburan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed berkata penyertaan hampir 1,300 pelajar tahun ini mencerminkan kesungguhan generasi muda untuk mendalami ilmu kewangan dan pelaburan.
“Penyertaan yang kukuh pada tahun ini mencerminkan peningkatan minat belia terhadap pasaran saham serta keazaman mereka untuk menguasai ilmu kewangan dan mengaplikasikan konsep pelaburan. Semangat ini mengukuhkan peranan BISC sebagai platform penting Bursa Malaysia dalam mendidik serta memperkasa pelabur masa depan secara tersusun dan interaktif,” katanya.
Menurut Bursa Malaysia, BISC 2025 berlangsung dalam tiga fasa utama bagi mensimulasikan kitaran pelaburan sebenar secara menyeluruh.
Fasa 1 – Penyelidikan
Pasukan peserta menghasilkan laporan penyelidikan mendalam ke atas syarikat tersenarai atau sektor pilihan termasuk analisis Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang diperkenalkan sebagai syarat baharu tahun ini.
Fasa 2 – Portfolio Maya
Setiap pasukan dibekalkan modal maya RM100,000 untuk berdagang sekuriti tersenarai melalui platform MyBURSA, lengkap dengan caj transaksi dan duti setem bagi meniru keadaan dagangan sebenar.
Fasa 3 – Grand Finale
20 pasukan terbaik membentangkan strategi portfolio masing-masing kepada panel hakim industri bagi menguji kefahaman, kebolehan analisis dan ketahanan peserta di bawah tekanan.
Sepanjang tempoh tiga bulan cabaran berlangsung, peserta turut dibimbing oleh lima firma broker utama iaitu Affin Hwang Investment Bank, AmInvestment Bank, CGS International Securities Malaysia, Maybank Investment Bank dan RHB Investment Bank.
Juara BISC 2025, Chong Jia Hong dari UUM berkata pertandingan itu memberi pendedahan hampir sama seperti suasana pasaran sebenar.
“BISC 2025 memberi peluang menguji strategi dagangan dalam persekitaran yang sangat hampir dengan dunia sebenar, tanpa menanggung risiko sebenar. Pengalaman praktikal ini amat bernilai untuk membina keyakinan sebagai pelabur, ” katanya.
Menurut Bursa Malaysia, inisiatif seperti BISC memainkan peranan penting dalam memperluaskan asas pelabur runcit negara serta membentuk komuniti pelabur yang lebih celik kewangan dan berdisiplin.
Dengan kejayaan BISC 2025 yang merekodkan 850 pasukan dan hampir 1,300 pelajar, Bursa Malaysia akan terus menjadikan pertandingan ini sebagai teras pembangunan literasi kewangan belia, menjelang edisi BISC 2026.
Maklumat lanjut pertandingan boleh diperoleh di:
https://my.bursamalaysia.com/bisc - DagangNews.com








