KUALA LUMPUR 22 Julai – UUE Holdings Bhd mengorak langkah strategik ke arah pengembangan pasaran serantau menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama ASEAN Cableship Pte Ltd bagi meneroka potensi projek penggerudian arah mendatar (HDD) di luar pesisir.
Kerjasama yang dimeterai melalui dua anak syarikat milik penuhnya, Konnection Engineering Pte Ltd dan Kum Fatt Engineering Sdn Bhd, akan memberi tumpuan kepada penyelesaian HDD bagi projek telekomunikasi dan infrastruktur marin di rantau ini dalam tempoh eksplorasi enam bulan.
ASEAN Cableship merupakan peneraju perkhidmatan kabel dasar laut di Asia Pasifik, manakala UUE mempunyai kepakaran kukuh dalam bidang HDD dan pemasangan kabel bawah tanah di Malaysia serta Singapura.
Pengarah Urusan UUE, Datuk Dr Ting Kok Hwa berkata, kerjasama tersebut akan membolehkan syarikat menawarkan perkhidmatan menyeluruh merangkumi daratan dan lautan.
“Gabungan keupayaan daratan UUE dan kepakaran dasar laut ASEAN Cableship membuka akses baharu kepada pasaran operator telekomunikasi serantau serta konsortium telekomunikasi di ASEAN.
“Kami berupaya menyertai projek bernilai tinggi dalam bidang subsea HDD yang kompleks serta mengukuhkan kedudukan untuk perluasan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, langkah ini juga memperkukuh kehadiran UUE di pasaran Singapura serta menjadikan syarikat lebih berdaya saing dalam penyampaian projek teknikal khusus.
UUE yang ditubuhkan pada 2009 merupakan penyedia penyelesaian kejuruteraan utiliti bawah tanah bersepadu, dengan kepakaran dalam penggerudian arah mendatar dan pengeluaran paip HDPE.
Kumpulan ini turut memiliki akreditasi Gred G7 CIDB dan berdaftar sebagai pembekal dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), membolehkan ia menyertai projek kejuruteraan utiliti kritikal di Malaysia dan Singapura.- DagangNews.com








