KUALA LUMPUR 3 Julai - Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus melakar sejarah sebagai perintis dan peneraju pembangunan inisiatif 'Industrial Playground' untuk mendedahkan pelajarnya dengan perkembangan teknologi terkini ekonomi negara.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, kemudahan itu adalah satu bentuk integrasi akademik dan industri dengan menggunakan konsep 'Universiti di Industri dan Industri di Universiti'.
"Kemudahan ini terdiri daripada empat komponen ekosistem yang fleksibel iaitu Technology-Industry Center of Excellence (Ti-CoE), Manufacturing Center, Design house dan Inkubator.
"Ia menjadi rangkaian dinamik menggabungkan pelbagai elemen seperti syarikat, teknologi, inovasi dan infrastruktur yang saling berinteraksi untuk mencipta nilai dengan kerjasama industri.
"Matlamat utama kemudahan ini adalah untuk mempertingkatkan pembangunan produk baharu, teknologi tercanggih dan perkhidmatan terkini selain memperkasakan aktiviti pengkomersialan melalui perkongsian pintar bersama industri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kewujudan Industrial Playground itu secara tidak langsung akan melahirkan lebih banyak syarikat pemula untuk menghasilkan penyelidikan universiti kepada produk sebenar.
"Pada masa yang sama, sudah tentu ia merangsang penghasilan teknologi baharu yang melibatkan ciptaan, kaedah atau sistem yang lebih moden, efisien, tenaga kerja berkemahiran serta berpendapatan tinggi," katanya.
Tambahnya, UTeM mengambil pendekatan serius dan komited dalam menzahirkan projek berimpak tinggi nasional dan berdaya kompetitif antarabangsa ini dan sehingga kini beberapa pencapaian semasa telah dicapai.
“Empat komponen utama pengisian telah dilaksanakan antaranya adalah menerusi kerjasama UTeM bersama industri maka terhasilnya penerimaan endownmen dalam bentuk in-kind berupa mesin dan peralatan daripada Maxeon Solar Technologies dengan nilai RM10 juta.
"Seterusnya adalah penubuhan makmal industri yang memfokuskan kepada pembangunan dan pengujian bahan komposit termoplastik dan termoset untuk aplikasi aeroangkasa bersama Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC).
“Ketiga adalah pembangunan Pusat Latihan CNC Termaju bersama Def Advance Technologies dan keempat adalah pemerkasaan Teaching Factory (TF) UTeM yang membawa pendekatan pengajaran yang inovatif dengan membawa projek praktikal atau berasaskan amali ke dalam makmal," katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Profesor Dr Zahriladha Zakaria berkata, pembangunan projek Indusrial Playground itu selaras dengan lima perkara utama berkaitan Kementerian Pendidikan Tinggi, negara dan dunia.
"Ia adalah selari dengan dasar Pendidikan Dan Latihan Teknikal Dan Vokasional (TVET) termaju bagi Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) 2030.
"Ia turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di bawah SDG nombor 9 iaitu Industri, Inovasi dan Infrastruktur dalam meningkatkan penyelidikan dan menaik taraf teknologi perindustrian," katanya - DagangNews.com








