Usaha sama SP Setia–Mitsui Fudosan perkukuh kedudukan kewangan, maksimum nilai tanah Setia EcoHill - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Usaha sama SP Setia–Mitsui Fudosan perkukuh kedudukan kewangan, maksimum nilai tanah Setia EcoHill - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 Okt – Langkah strategik SP Setia Bhd memeterai usaha sama (JV) dengan syarikat hartanah Jepun, Mitsui Fudosan, bakal memberi manfaat besar kepada syarikat dari segi pengurusan modal, pemaksimuman nilai tanah dan pengukuhan imbangan kewangan, kata MBSB Research.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kerjasama ini membuka ruang kepada pendanaan pembangunan projek secara lebih efisien, tanpa SP Setia perlu menanggung beban modal yang tinggi. 

 

"Model JV seperti ini membolehkan syarikat mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan dalaman sambil tetap mengekalkan penglibatan dalam pembangunan hartanah strategik.

 

"Selain itu, hasil tunai daripada penjualan tanah kepada JV akan digunakan untuk membiayai pembangunan projek, seterusnya meningkatkan kecairan tunai dan mengurangkan tekanan ke atas modal kerja," katanya dalam nota penyelidikan.

 

JV SP Setia-Mitsui Fudosan melibatkan projek Setia EcoHill, sebuah perbandaran matang milik SP Setia di Semenyih, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM5 bilion. 

 

Dalam kerjasama ini, SP Setia akan menyuntik 113 ekar tanah ke dalam syarikat JV yang ditubuhkan bersama Mitsui Fudosan.

 

Menurut MBSB, JV ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang SP Setia untuk mengurangkan nisbah hutang bersih (net gearing), yang kini telah turun kepada 0.37 kali pada 2QFY25, berbanding 0.62 kali pada FY22, hasil usaha pengewangan tanah dan pendekatan kerjasama strategik.

 

Katanya, langkah JV ini juga berpotensi merealisasikan nilai tanah Setia EcoHill, sekali gus menyumbang kepada jualan tanah dan meningkatkan pendapatan bukan teras syarikat.

 

Sambil mengekalkan tumpuan terhadap pembangunan hartanah kediaman, SP Setia kini mengembangkan penglibatan dalam segmen hartanah industri, yang dijangka menjadi pemacu pertumbuhan keuntungan masa hadapan.

 

Cadangan penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT) menjelang 2026 juga dijangka membuka nilai pelaburan hartanah syarikat secara lebih meluas.

 

Sehubungan itu MBSB mengekalkan saranan BELI (BUY) terhadap saham S P Setia dengan harga sasaran (TP) RM1.26, berdasarkan diskaun 68% kepada nilai aset bersih diselaraskan (RNAV). 

Saham syarikat kini dinilai murah, dengan diskaun besar kepada NTA terkini RM2.91 sesaham.  - DagangNews.com