Usaha berterusan perkukuh infrastruktur digital, pembangunan komuniti di Sabah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Usaha berterusan perkukuh infrastruktur digital, pembangunan komuniti di Sabah

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ketika menghadiri program di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

KUALA LUMPUR 8 Nov - Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memperkukuh komitmen dalam memastikan rakyat Sabah menikmati kemudahan komunikasi dan capaian Internet yang berkualiti.

 

Dalam kenyataan hari ini, MCMC berkata hal itu mampu dilakukan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan infrastruktur digital serta pemerkasaan komuniti setempat di seluruh negeri.

 

Menurut MCMC, hari ini Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil telah meninjau pengoperasian menara telekomunikasi di Kampung Keronggu, Inanam, Kota Kinabalu bagi menilai keberkesanan pelaksanaan projek JENDELA Fasa 1 untuk memperkukuh liputan komunikasi di kawasan tersebut. 

 

Menara komunikasi di kawasan ini kini menyediakan liputan 4G untuk pengguna CelcomDigi, Maxis dan U Mobile, dengan purata kelajuan 90 Mbps melalui penggunaan Starlink, sementara menunggu pelaksanaan sambungan gentian optik.

 

"Inisiatif ini memberikan manfaat kepada lebih 500 penduduk, serta mencerminkan peningkatan ketara capaian Internet di Sabah yang kini mencatatkan 96.81%, berbanding 73.41% sebelum pelaksanaan JENDELA. 

 

"Penyedia perkhidmatan diminta menambah kapasiti bagi memastikan kualiti liputan mematuhi piawaian MCMC," kata kenyataan itu.

 

Selain itu, Fahmi turut meninjau menara telekomunikasi di Kampung Tulung, Penampang, yang terjejas akibat banjir bagi meninjau kerja menaikkan kabinet peralatan telekomunikasi yang telah dilaksanakan bagi memastikan kestabilan dan kesinambungan operasi rangkaian semasa cuaca ekstrem.

 

Kerja-kerja ini dilaksanakan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) bersama-sama GTP Network Sdn. Bhd. untuk memperkukuh ketahanan serta kebolehoperasian infrastruktur komunikasi di kawasan berisiko tinggi seperti Penampang dan Kota Kinabalu.

 

Sebelum itu, Fahmi telah menghadiri Program Hari Bersama Komuniti (HBK) dan Temu Anak Muda di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Kopimpinan, Putatan.

 

Program anjuran Kementerian Komunikasi menerusi MCMC mengetengahkan modul di bawah Perkhidmatan Pintar NADI antaranya, Nadipreneur; pembelajaran sepanjang hayat; pembangunan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); kesedaran keselamatan siber dan etika media sosial; MyFutureJobs; Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO); Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

 

Hingga kini, sebanyak 16,518 belia di Sabah telah mengikuti program NADI, dengan jumlah keahlian belia di seluruh negeri mencapai 50,439 orang. 

 

Selain itu, program Duta NADI dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) turut memperkukuh advokasi keselamatan siber serta literasi digital di peringkat komuniti.

 

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) MCMC, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin. - DagangNews.com