UPSI mengesahkan 42 pelajarnya terlibat dalam kemalangan maut bas Gerik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UPSI mengesahkan 42 pelajarnya terlibat dalam kemalangan maut bas Gerik

Oleh Muhammad Iman

IPOH 9 Jun - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengesahkan 42 pelajarnya menaiki bas terbabit dalam kemalangan maut dengan sebuah kenderaan lain di Lebuhraya Timur-Barat di Banun, Gerik, awal pagi Isnin.

 

Kemalangan itu meragut nyawa 15 pelajar UPSI.

 

Bahagian Komunikasi Korporat UPSI berkata, 44 pelajar sepatutnya menaiki bas itu, tetapi dua daripadanya tidak.

 

Ia kemudian mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa ia telah menerima laporan awal mengenai nahas itu.

 

"UPSI sedang mengambil tindakan susulan berhubung perkara itu. Justeru, kami meminta kakitangan UPSI dan orang ramai mendoakan agar kami diberikan kemudahan dalam urusan kami," katanya.

 

Ia juga menegaskan bahawa UPSI sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pelajarnya, dan akan memberikan bantuan dan sokongan kepada waris mangsa nahas.

 

Bahagian Komunikasi Korporat UPSI berkata, universiti itu telah mengaktifkan bilik gerakan, dan sebarang maklumat boleh disalurkan kepadanya dengan menghubungi 05-4507148 (pejabat), atau 019-571 9977 (hotline).

 

Sementara itu, tujuh daripada mangsa kemalangan bas sedang dirawat di zon merah, 20 di zon kuning, dan enam di zon hijau Hospital Gerik.

 

Terdahulu, Pusat Kawalan Operasi Daerah Angkatan Pertahanan Awam Hulu Perak dalam satu kenyataan berkata sekurang-kurangnya 15 orang maut dalam nahas membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar dari UPSI, dan sebuah kenderaan, di Lebuhraya Timur-Barat di Banun, Gerik, awal Isnin.

 

Tambah kenyataan itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Gerik berhubung perlanggaran itu pada jam 1.10 pagi. - DagangNews.com