UPSI mantapkan DPLI dengan kurikulum baharu selaras keperluan semasa negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UPSI mantapkan DPLI dengan kurikulum baharu selaras keperluan semasa negara

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 15 Nov — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh kedudukan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) sebagai antara program persediaan perguruan paling relevan di negara ini melalui pelbagai inisiatif penambahbaikan yang selaras dengan keperluan pendidikan semasa.

 

Menurut Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) UPSI, Profesor Dr Abdul Talib Mohamed Hashim, relevansi program DPLI dipastikan melalui semakan kurikulum setiap lima tahun yang melibatkan industri, institusi pendidikan dan pakar akademik bagi mengekalkan mutu serta memastikan kandungannya terus memenuhi perubahan sistem pendidikan negara.

 

Proses penyemakan itu turut memastikan program berkenaan mematuhi standard Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan piawaian Pertubuhan Piawaian Antarabangsa (ISO), sekali gus menjamin keberkesanan latihan guru yang ditawarkan UPSI.

 

Beliau berkata demikian pada majlis sesi kelima Istiadat Konvokesyen UPSI ke-27 yang menyaksikan fakulti itu meraikan seramai 973 graduan DPLI pada tahun ini.


 

Profesor Dr Abdul Talib Mohamed Hashim
Profesor Dr Abdul Talib Mohamed Hashim pada majlis sesi kelima Istiadat Konvokesyen UPSI ke-27.

 


Beliau menjelaskan kurikulum yang disusun semula turut menekankan kemahiran abad ke-21 berasaskan 4C iaitu komunikasi, kolaborasi, kreativiti dan pemikiran kritis bagi melahirkan guru progresif serta mampu berfikir secara reflektif.

 

“Kadar kebolehpasaran graduan UPSI kekal melebihi 95 peratus, dan graduan DPLI menjadi penyumbang terbesar kepada pencapaian 97% pada tahun 2025.

 

“Penilaian latihan mengajar secara komprehensif oleh penyelia sekolah dan pensyarah UPSI memastikan pelajar menguasai kemahiran pedagogi, pengurusan bilik darjah dan profesionalisme keguruan sebelum ditempatkan di sekolah.”

 

UPSI turut memberi tumpuan kepada latihan profesional berterusan dengan memperkenalkan teknologi pendidikan semasa, aplikasi kecerdasan buatan (AI) serta pedagogi digital dalam pengajaran dan pembelajaran.

 

Menyentuh aspek inovasi pembelajaran, beliau berkata UPSI melaksanakan usaha pendigitalan menyeluruh untuk program DPLI berdasarkan piawaian “Pendidikan Guru Berasaskan Standard” dan “Standard Guru Malaysia”.

 

“UPSI juga menggalakkan penggunaan pedagogi berasaskan data, amalan pengajaran berinformasi serta kaedah bilik darjah terbalik, disokong oleh infrastruktur digital seperti Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) dan perpustakaan digital yang menyediakan lebih dua juta bahan,” katanya. - DagangNews.com