UOBKH kekal positif terhadap Pecca, pendapatan disokong jualan kukuh daripada Perodua | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UOBKH kekal positif terhadap Pecca, pendapatan disokong jualan kukuh daripada Perodua

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 27 Jan – UOB Kay Hian (UOBKH Research) kekal positif terhadap Pecca Group Bhd, disokong oleh pelbagai pemacu pertumbuhan antaranya jualan kukuh pembuat kereta nasional, Perodua, di samping merentas segmen pengeluaran peralatan pengganti (REM) dan penerbangan.

 

Kumpulan yang terlibat dalam pembuatan, pengedaran dan pemasangan upholsteri penutup tempat duduk bagi industri automotif dan penerbangan itu berada pada kedudukan baik  meraih kontrak pemasangan tempat duduk daripada pengeluar peralatan asal (OEM) China.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Pecca meraih manfaat daripada Perodua, dengan pengeluar automotif nasional itu mencatatkan jualan rekod 359,904 unit tahun lalu, sekali gus mengekalkan 43% pegangan jumlah volum industri.didorong peluasan kemudahan pembuatan baharu.

 

“Bagi tahun ini, kami menjangkakan Perodua mengekalkan pegangan pasaran, dipacu permintaan kukuh bagi model mampu milik serta disokong jualan model baharu Traz dan QEV,” kata UOBKH Research.

 

Menurut firma itu, momentum jualan Perodua yang kukuh dijangka terus menyokong pendapatan Pecca dalam segmen OEM, memandangkan Perodua kini menyumbang sekitar 80% daripada hasil OEM syarikat.

 

“Selain itu, syarikat akan memulakan pengeluaran besar-besaran balutan panel instrumen bagi satu model kenderaan elektrik pada separuh kedua tahun ini, yang kami anggarkan menyumbang sekitar 2% kepada pertumbuhan hasil,” katanya.

 

Mengulas segmen REM, UOBKH Research berkata, selepas kelewatan jualan akibat tarif timbal balik sebelum ini, penghantaran pertama kepada pelanggan utama berasaskan AS telah diselesaikan pada November lalu, yang akan diterjemahkan kepada pendapatan pada suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY26).

 

Ke hadapan, Pecca menjangkakan peningkatan volum penghantaran kepada pelanggan berkenaan dan turut merancang memperkenalkan templat tambahan pada FY27.

 

Syarikat juga meneroka pasaran baharu termasuk Timur Tengah, dengan rundingan perjanjian jualan bersama pengedar utama jenama kereta Jepun kini di peringkat akhir.

 

UOBKH Research mengunjurkan hasil segmen REM berganda pada FY26, didorong sumbangan daripada pasaran eksport baharu.

 

“Walaupun pengukuhan ringgit berbanding dolar AS mungkin sedikit menjejaskan pendapatan eksport, kami menjangkakan kesan keseluruhan ke atas keuntungan bersih adalah neutral memandangkan kebergantungan Pecca kepada kulit import yang menyediakan lindung nilai semula jadi,” katanya.

 

Dalam segmen penerbangan pula, anak syarikat milik penuh Pecca Aviation Services Sdn Bhd (PASSB) menandatangani memorandum persefahaman dengan Betamek Research Sdn Bhd, unit kepada Betamek Bhd, bagi bekerjasama dalam sistem hiburan dalam penerbangan dan dalam tren.

 

Kerjasama itu menggabungkan kepakaran Betamek Research dalam penyelidikan, reka bentuk dan pembangunan kejuruteraan bagi perkhidmatan pembuatan elektronik, bersama pengalaman PASSB sebagai penyedia penyelesaian penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih dalaman kabin pesawat yang diluluskan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.

 

Di bawah kerjasama tersebut, Betamek Research akan menerajui pembangunan antara muka digital, terminal hiburan dan sistem pengurusan kandungan serta integrasi perisian khusus untuk aplikasi penerbangan dan tren, manakala PASSB akan memfokuskan integrasi teknologi infotainmen digital ke dalam platform tempat duduk dan kabin, selaras piawaian penerbangan dan rel antarabangsa.

 

Sehubungan itu, UOBKH Research mengekalkan saranan “beli” ke atas Pecca dengan harga sasaran lebih tinggi RM2.04, berbanding RM1.70 sebelum ini. - DagangNews.com