KUALA LUMPUR 20 April — UOB Malaysia berjaya membantu dalam memudah cara aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) melebihi RM18 bilion ke Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sejak 2024.
Menurut kenyataan bank itu, pencapaian tersebut mencerminkan keberkesanan kerjasama awam-swasta melalui inisiatif Green Lane UOB bersama Invest Johor bagi mempercepat pelaburan bermutu tinggi.
Selain itu, pada Forum Strategik UOB-Invest Johor JS-SEZ 2026 hari ini, ia turut mengumumkan komitmen pelaburan baharu bernilai lebih RM1 bilion yang akan disalurkan melalui platform sama.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan kerjasama tersebut sebagai berjaya menarik pelaburan bernilai tinggi serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di negeri itu.
“Setiap pelaburan yang diperoleh mesti memberi impak nyata kepada ekonomi dan rakyat Johor, sekali gus mengukuhkan daya tarikan negeri sebagai destinasi pelaburan utama serantau," jelas beliau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, bank berkenaan akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan praktikal bagi menukar minat pelabur kepada pelaburan sebenar.
Tambahnya, sinergi yang berkesan antara Johor dan Singapura turut membolehkan banyak syarikat akan dapat memanfaatkan pelbagai peluang rentas sempadan secara lebih berkesan serta lebih lancar.

Ujar beliau, antara pelabur berpotensi yang dikenal pasti sudah menunjukkan komitmen mereka kepada Invest Johor termasuk GSP Automotive Malaysia, Paragon Globe dan JT Automation Technology.
"Forum ini turut menghimpunkan lebih 400 peserta termasuk dari kalangan pelabur antarabangsa, syarikat multinasional serta perusahaan kecil dan sederhana meneroka peluang di JS-SEZ," katanya.
Selain pelaburan, UOB turut memperluas peranannya dengan melancarkan program pendidikan digital, UOB My Digital Space (MDS) di Malaysia dalam usaha perluasan peranan kepada pembangunan bakat.
Program tersebut menurut kenyataan itu, bertujuan meningkatkan kemahiran digital, kesedaran kecerdasan buatan (AI) serta pemikiran kritis dalam kalangan pelajar berumur 10 hingga 16 tahun.
Usaha tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif serantau yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar di rantau ASEAN dan Greater China, sekali gus dijangka merapatkan jurang digital.
Secara keseluruhan, UOB bukan sahaja memainkan peranan penting memacu pelaburan ke JS-SEZ, malah menyokong pembangunan bakat masa depan selaras keperluan ekonomi semasa. - DagangNews.com








