KUALA LUMPUR 21 April – UOA Development Bhd menamatkan perjanjian pemegang sahamnya dengan Care Concierge Care Centre Sdn Bhd dan mengambil alih sepenuhnya operasi pusat penjagaan kesihatan yang dikendalikan melalui Komune Care Centre Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata penamatan kerjasama tersebut dilaksanakan melalui perjanjian bersama bertarikh 17 April antara anak syarikatnya, Federaya Development Sdn Bhd dan Regenta Development Sdn Bhd, dengan Care Concierge.
Menurut UOA Development, keputusan menamatkan perjanjian itu dibuat susulan perbezaan pandangan perniagaan antara kedua-dua pihak yang sebelum ini menjalinkan usaha sama sejak 2021.
Usahasama tersebut asalnya ditubuhkan pada 9 September 2021 bagi mengendalikan pusat penjagaan kesihatan di Komune Living and Wellness Centre di Kuala Lumpur, yang menawarkan perkhidmatan penjagaan bersepadu.
Susulan penamatan itu, pegangan 40 peratus milik Care Concierge dalam Komune Care Centre yang melibatkan 186,667 saham biasa akan dipindahkan kepada Federaya Development Sdn Bhd.
Pemindahan pegangan tersebut dilakukan dengan balasan tunai sebanyak RM500,000 dan menjadikan Komune Care Centre sebagai anak syarikat milik penuh UOA Development melalui unitnya.
UOA Development berkata pengambilalihan penuh itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan kumpulan, nisbah penggearan mahupun aset bersih syarikat.
Syarikat itu turut menegaskan bahawa langkah tersebut tidak akan menjejaskan modal saham atau struktur pemegang saham utamanya, selain dilihat sebagai keputusan strategik untuk memudahkan operasi perniagaan.
“Lembaga pengarah selepas menilai semua aspek berpendapat penamatan ini adalah yang terbaik untuk kepentingan kumpulan,” menurut kenyataan syarikat itu. - DagangNews.com








