Untung Uchi Technologies jatuh kepada RM21 juta bagi 1QFY26 berikutan kelemahan nilai dolar AS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung Uchi Technologies jatuh kepada RM21 juta bagi 1QFY26 berikutan kelemahan nilai dolar AS

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 20 MeiUchi Technologies Berhad mencatatkan penurunan marginal 1% dalam keuntungan bersihnya bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, kepada sebanyak RM21.24 juta.


Ia jatuh sedikit berbanding RM21.35 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, terutamanya berikutan penyusutan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit sepanjang tiga bulan tersebut.


Situasi berkenaan katanya, menyebabkan pendapatan kumpulan rumusan teknologi itu yang dalam denominasi ringgit merosot walaupun terdapat peningkatan kecil dalam hasil denominasi dolar AS.


"Keadaan itu mengakibatkan Uchi merekodkan perolehan sebanyak RM40.4 juta, iaitu penurunan 10% berbanding RM44.9 juta pada suku yang sama tahun kewangan 2025," maklumnya kepada Bursa Malaysia.


Sementara itu ujarnya, keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan menyusut kira-kira 5% kepada RM26.5 juta berbanding sebanyak RM28.0 juta dicatatkan setahun lalu, sejajar dengan penurunan hasil.


Jelasnya, kadar pertukaran mata wang asing (forex) purata bagi 1QFY26 adalah RM3.9599 berbanding setiap AS$1.00, jauh lebih rendah daripada RM4.4426 bagi setiap AS$1.00 pada tahun yang sebelumnya.


Berdasarkan perkembangan itu, Uchi menetapkan dividen interim satu peringkat ketiga sebanyak 4.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 yang sudah dibayar pada 31 Mac 2026.


"Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, kumpulan menjangka persekitaran perniagaan kekal mencabar disebabkan ketegangan geopolitik berterusan, dan ketidaktentuan ekonomi global," katanya.


Disebabkan sifat perkembangan global yang sukar diramal dan kesannya terhadap rantaian bekalan serta turun naik dolar AS, kumpulan memilih untuk tidak memberikan panduan kewangan secara khusus.


Bagaimanapun, pihak pengurusan Uchi tetap yakin dengan daya tahan operasi dan pengurusan kos yang disiplin untuk mengekalkan keuntungan serta kunci kira-kira supaya terus menjadi lebih kukuh.


Setakat 31 Mac 2026, kumpulan itu mengekalkan kedudukan kewangan yang stabil dengan deposit jangka pendek serta baki tunai dan bank berjumlah RM137.9 juta. - DagangNews.com