Untung Teo Seng bagi FY25 merosot ketara akibat harga telur tiada subsidi, kata Mercury Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung Teo Seng bagi FY25 merosot ketara akibat harga telur tiada subsidi, kata Mercury Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 FebTeo Seng Capital Berhad mencatat keputusan tahun kewangan 2025 (FY25) selari jangkaan, namun keuntungan bersih merosot ketara, menurut analisis Mercury Securities.


Keadaan tersebut jelas firma penyelidikan berkenaan akibat penetapan harga purata telur ayam di pasaran tempatan yang bebas daripada sebarang unsur subsidi kerajaan selepas 31 Julai 2025.


Situasi itu menyebabkan syarikat-syarikat penternakan perlu menurunkan harga jualan mereka apabila kenaikan harga susulan penghapusan subsidi menyaksikan pengguna semakin kurang membeli telur.


"Harga telur yang murah menjejaskan Teo Seng, namun keputusan FY25 memenuhi 105% unjuran disokong oleh jumlah jualan lebih tinggi bagi mengimbangi tekanan," kata Mercury Securities dalam notanya.


Bagaimanapun penambahbaikan perbelanjaan operasi (opex) berjaya menjana hasil, dan susulan itu, ia menaikkan unjuran pendapatan pada FY26 sebanyak 4% dengan terus mengekalkan saranan 'beli'.


Firma penyelidikan tersebut turut meningkatkan harga sasaran (TP) sesaham kumpulan beribu pejabat di Yong Peng, Johor dan ditubuhkan sejak 2006 itu kepada RM1.16 daripada RM1.05 sebelum ini.


Secara tahunan kata Mercury Securities, hasil Teo Seng susut 2.4% kepada RM735.9 juta, terutamanya disebabkan prestasi lemah segmen penternakan ayam (-3.5%) ekoran harga purata telur lebih rendah.


"Keuntungan bersih FY25 pula jatuh 22.5% kepada RM142.1 juta, dipengaruhi harga jualan telur yang perlahan serta kesan rantaian akibat penghapusan subsidi kerajaan sejak 1 Ogos 2025," jelasnya.


Prestasi suku keempat FY25 menunjukkan tanda pemulihan apabila keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak 32.2% suku ke suku didorong oleh kos makanan ternakan stabil, dan harga telur lebih baik.


Selain itu tambah Mercury Securities, pengukuhan nilai ringgit membantu mengimbangi kos bahan mentah import membantu pendapatan Teo Seng meningkat 32.3% suku ke suku(QoQ) kepada RM33.5 juta.


Ia menjangkakan ketiadaan subsidi akan menyebabkan pendapatan FY26 hingga FY27 mencerminkan tahap keuntungan yang mulai dinormalisasi, tetapi mengekalkan pandangan positif prospek jangka panjang.


"Kumpulan ini masih disokong oleh permintaan telur yang berdaya tahan, operasi bersepadu, pengembangan hiliran serta persekitaran makro yang semakin baik," jelas firma penyelidikan itu.


Malah kata Mercury Securities, bagi FY25, Teo Seng mengisytiharkan dividen 1 sen untuk suku keempat, menjadikan jumlah dividen tahunan 6 sen sesaham, sejajar jangkaan pasaran. - DagangNews.com