KUALA LUMPUR 22 Ogos – Pesona Metro Holdings Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai sebanyak RM12.4 juta, naik 107% bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (Q2FY25) berbanding RM6 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Pesona Metro merekodkan hasil RM174.8 juta, meningkat 53% daripada RM114 pada Q2FY24, didorong pertumbuhan projek pembinaan yang lebih tinggi serta sumbangan anak syarikat pembangunan hartanah Gaya Kuasa Sdn Bhd, yang diperoleh pada Oktober 2024.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) Pesona Metro meningkat 115% kepada RM14.5 juta berbanding RM6.7 juta pada Q2FY24.
Kumpulan itu berkata, segmen konsesi Kumpulan turut menyumbang pendapatan stabil sepanjang suku ini.
“Segmen pembangunan hartanah mencatat hasil RM33.5 juta, meningkat 89% berbanding RM17.8 juta pada Q1FY25, menandakan pertumbuhan kukuh dan sumbangan yang semakin penting terhadap jumlah hasil Kumpulan.
“Bagi tempoh enam bulan pertama (1HFY25), Pesona Metro mencatat hasil RM321.7 juta, meningkat 71% daripada RM187.6 juta pada 1HFY24. PBT dan PAT masing-masing meningkat kepada RM24.2 juta (+127%) dan RM21.1 juta (+111%) berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
“Hasil daripada segmen pembinaan meningkat 81% kepada RM256.9 juta, manakala segmen aset konsesi dan penyelenggaraan meningkat 14% kepada RM13.5 juta bagi 1HFY25,” kata Pesona Metro dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Pesona Metro, Wie Hock Beng berkata, Kumpulan gembira dengan peningkatan ketara prestasi kewangan 1HFY25, yang mencerminkan dedikasi dan ketahanannya dalam pengurusan projek.
“Setakat 1HFY25, Kumpulan mempunyai pesanan pembinaan tertunggak bernilai RM2 bilion merangkumi sembilan projek sedang berjalan, yang akan terus menyokong hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
“Pendapatan konsesi dan penyelenggaraan akan terus menyumbang aliran hasil stabil, manakala anak syarikat pembangunan hartanah Gaya Kuasa Sdn Bhd sudah menyumbang pertumbuhan ketara, meningkat daripada 12% kepada 19% daripada jumlah hasil Kumpulan pada Q2FY25,” katanya.
Pada awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan majlis pecah tanah untuk projek Residensi Aman Lumayan, salah satu pembangunan perumahan mampu milik terbesar di bawah program Residensi Wilayah kerajaan.
Projek ini dibangunkan oleh Danau Lumayan Sdn Bhd dengan Pesona Metro sebagai kontraktor turnkey, bernilai keseluruhan RM1 bilion.
Ia direka untuk membantu golongan berpendapatan rendah hingga sederhana memiliki rumah pertama mereka serta menyokong aspirasi Malaysia MADANI bagi ekonomi inklusif dan lestari.
“Kedepannya, kami akan terus mengurus pesanan pembinaan dengan berhati-hati, menyeimbangkan risiko dan ganjaran dalam menilai peluang baharu.
“Fokus kami kekal pada pengukuhan projek sedia ada dan pengembangan ke segmen pertumbuhan, sambil memastikan nilai jangka panjang yang mampan kepada pemegang saham dan pembeli rumah,” katanya.- DagangNews.com








