KUALA LUMPUR 31 Okt – UUE Holdings Bhd merekodkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 4.3% kepada RM6.45 juta bagi suku kedua berakhir 31 Ogos 2025 (2QFY2026).
Keuntungan syarikat itu terjejas disebabkan peningkatan perbelanjaan pentadbiran dan margin keuntungan yang mengecil, meskipun mencatatkan pendapatan suku tahunan tertinggi.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat kejuruteraan utiliti itu berkata, pendapatan suku berkenaan melonjak 34% kepada paras tertinggi RM57.67 juta berbanding RM43.05 juta pada tempoh sama tahun lalu.
“Peningkatan ini dipacu oleh peningkatan 47.7% dalam pendapatan daripada segmen teras kejuruteraan utiliti bawah tanah kepada RM52.29 juta.
“Segmen baharu kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar menyumbang RM689,000 kepada pendapatan Kumpulan.
“Namun pendapatan daripada pembuatan dan penjualan paip polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) susut 38.4% kepada RM4.70 juta disebabkan permintaan lebih rendah dari Singapura,” kata UUE.

Syarikat itu berkata, penyusutan keuntungan disebabkan kos pentadbiran lebih tinggi dan margin kasar lebih rendah, terutamanya dalam operasinya di Singapura.
Margin kasar kumpulan mengecil kepada 23.3% daripada 29.5% setahun lalu, manakala margin operasi turun kepada 13.8% daripada 17%.
Perbelanjaan operasi pula meningkat 19.6% kepada RM4.80 juta, manakala kos kewangan naik 19.9% kepada RM543,000.
Pendapatan sesaham susut kepada 1.1 sen berbanding 1.7 sen sebelumnya, dan tiada dividen diumumkan bagi suku tersebut.
Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan (1HFY2026), keuntungan bersih UUE merosot 33.8% kepada RM8.14 juta berbanding RM12.30 juta pada tempoh sama tahun lalu, meskipun pendapatan meningkat 9.8% kepada RM90.08 juta.
Pengarah Urusannya, Datuk Dr Ting Kok Hwa berkata, keputusan tersebut mencerminkan ketahanan kumpulan yang disokong oleh perniagaan teras kejuruteraan utiliti bawah tanah serta kekuatan pelaksanaan projek.
“Peluasan strategik UUE ke dalam tenaga boleh diperbaharui melalui unit EPCC solar baharu, Enerxite Sdn Bhd adalah antara langkah syarikat dalam mempelbagaikan aliran pendapatan.
“Ini juga mengukuhkan kedudukan kami dalam pasaran infrastruktur mampan yang sedang berkembang,” katanya. - DagangNews.com








