KUALA LUMPUR 21 Jan – UOA Real Estate Investment Trust (UOA REIT) berjaya mencatatkan keuntungan bersih melonjak 33.53% sebanyak RM48.08 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2025.
Ia meningkat berbanding RM35.48 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, dengan prestasi positif itu jelasnya, didorong terutamanya oleh faktor peningkatan pendapatan sewa kasar sebanyak 10.3%.
Peningkatan yang banyak itu menurut kumpulan Amanah pelaburan hartanah itu disebabkan daripada kadar penghunian semakin bertambah baik serta pelarasan nilai saksama ke atas hartanah pelaburan.
"Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025, keuntungan bersih syarikat meningkat kepada RM16.78 juta berbanding RM5.26 juta bagi tempoh sama tahun lalu," maklumnya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Selain faktor penghunian, pelarasan nilai saksama hartanah pelaburan berjumlah RM1.38 juta turut menyumbang kenaikan, berbanding kerugian nilai saksama RM9.83 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Pendapatan sewa kasar jelas UOA REIT, turut meningkat kepada sebanyak RM121.06 juta bagi tempoh setahun berbanding hanya kira-kira RM109.89 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2024.
Bagaimanapun katanya, jumlah perbelanjaan meningkat kepada RM79.41 juta bagi tahun kewangan 2025, yang sebahagian besarnya disebabkan oleh kenaikan kos penyelenggaraan hartanah kumpulan itu.
"Sementara itu, nilai aset bersih (NAV) pula berada pada RM989.11 juta, dengan NAV sesaham selepas agihan pendapatan meningkat kepada kira-kira RM1.4248," katanya lagi.
Bagi suku di bawah tinjauan, UOA REIT mengisytiharkan agihan pendapatan sebanyak 3.92 sen seunit, menjadikan jumlah keseluruhan agihan bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 sebanyak 6.95 sen seunit.
Dari sudut korporat, pihak pengurus pada 2 Oktober 2025 mencadangkan pengambilalihan tiga hartanah komersial bernilai RM200 juta serta penubuhan rancangan pelaburan semula agihan pendapatan.
Langkah ini dilihat sebagai usaha secara berterusan untuk mengoptimumkan pulangan kepada pemegang unit sambil mengekalkan tahap penggearan dalam had yang dibenarkan kumpulan berkenaan.
"Sehingga kini, portfolio pelaburan UOA REIT meliputi hartanah komersial utama seperti UOA Centre, dan UOA II, dengan nilai pasaran keseluruhan mencecah RM1.73 billion," katanya. - DagangNews.com








