KUALA LUMPUR 30 Jan - UMS Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM3.67 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (FY25), jatuh 54% berbanding RM8.15 juta pada FY24.
Prestasi negatif itu disebabkan terutamanya oleh ketiadaan keuntungan luar biasa daripada aktiviti pelupusan syarikat bersekutu sebanyak RM3.67 juta yang direkodkan pada tahun kewangan 2024.
Jelas kumpulan pemasaran produk perkakasan kejuruteraan automotif yang ditubuhkan pada 1981 itu, keadaan mencabar pasaran secara keseluruhan turut menjejaskan aliran keuntungan bersih bagi FY25.
"Pendapatan kumpulan turut menyusut sebanyak 10.28% kepada RM68.79 juta berbanding kira-kira RM76.67 juta pada tahun 2024," kata UMS dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Penurunan hasil ini tambahnya, dipengaruhi oleh prestasi operasi serantau syarikat yang bergerak perlahan seiring dengan kekuatan aktiviti ekonomi dan permintaan tempatan di kawasan berkaitan.
Meskipun mencatatkan penurunan keuntungan, Lembaga Pengarah mencadangkan dividen akhir satu peringkat 6 sen sesaham serta dividen khas kira-kira 2 sen sesaham bagi tahun kewangan itu.
Bagaimanapun katanya, cadangan pemberian dua dividen tersebut akan dibawa untuk kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-44 UMS yang dijadualkan berlangsung pada 9 Mac 2026.
"Bagi prospek masa hadapan pula, pengurusan kumpulan menyatakan komitmen untuk terus mengimbangi pengembangan perniagaan dengan kelestarian secara jangka panjang," kata kenyataan berkenaan.
Kumpulan itu kekal optimis secara berhati-hati terhadap prestasi perniagaan merentas spektrum sektor ekonomi bagi 2026 dan menjangkakan hasil yang kekal menguntungkan jika tiada masalah.
UMS turut terlibat aktif dalam sektor minyak sawit, getah, penjanaan tenaga, kuari dan simen, pembuatan sarung tangan lateks, serta industri elektrik dan elektronik. - DagangNews.com








