KUALA LUMPUR 3 April – Prolintas Infra Business Trust mencatatkan keuntungan bersih yang mencecah sebanyak RM28.9 juta bagi tahun kewangan semasa berakhir pada 31 Disember 2025 (FY25).
Menurut amanah perniagaan secara Islam itu, prestasi tersebut didorong terutamanya oleh peningkatan volum trafik di rangkaian lebuh raya miliknya serta pengurusan kos operasi yang semakin berdisiplin.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ia turut mengeluarkan erata atau pembetulan rasmi bagi Laporan Tahunan Bersepadu 2025 (IAR 2025) yang sebelum ini diterbitkan pada 27 Mac 2026.
"Pindaan itu melibatkan kemas kini maklumat Penyata Pengurusan Risiko dan Kawalan Dalaman di muka surat 137, bagi memasukkan rujukan tambahan dengan semakan oleh juruaudit luaran," katanya.
Tambah Prolintas, kedudukan kewangan kumpulan tersebut bagi FY25 menunjukkan peningkatan keuntungan bersih kira-kira 8.6% berbanding RM26.6 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Pertumbuhan ini disokong peningkatan Purata Trafik Harian (ADT) sebanyak 3.3% kepada 497,543 kenderaan, hasil pembangunan pesat perbandaran kediaman dan komersial di jajaran lebuh rayanya.
Pendapatan operasi lebuh raya turut naik 2.1% kepada RM320.3 juta, manakala pengurusan amanah tersebut sudah mengisytiharkan jumlah agihan sebanyak RM72 juta atau 6.55 sen seunit bagi tahun berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Prolintas, Mohamad Idros Mosin menyifatkan keputusan kewangan kali ini dicapai melalui strategi keutamaan tepat dan pengawasan operasi yang lebih teguh.
"Usaha ini bagi mengekalkan kebolehpercayaan rangkaian lebuh raya, dengan portfolio aset kini merangkumi empat lebuh raya matang yang strategik di Lembah Klang iaitu AKLEH, GCE, LKSA, dan SILK," katanya.
Amanah tersebut jelas beliau, turut memaklumkan selain daripada kemas kini yang dinyatakan dalam erata tersebut, semua maklumat lain dalam IAR 2025 adalah kekal tidak berubah. - DagangNews.com








