KUALA LUMPUR 26 Jan – Paradigm Real Estate Investment Trust (Paradigm REIT) mencatatkan untung bersih sebanyak RM89.46 juta bagi tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25), disokong prestasi kukuh pendapatan sewaan serta keuntungan penilaian semula hartanah pelaburan.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Paradigm REIT mengesahkan bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025 (4QFY25), keuntungan selepas cukai meningkat ketara kepada RM53.97 juta, hampir dua kali ganda berbanding RM28.98 juta pada suku sebelumnya.
Bagi tempoh dari 10 Jun 2025 hingga 31 Disember 2025, Paradigm REIT mencatatkan hasil sebanyak RM132.29 juta, manakala pendapatan hartanah bersih (NPI) berjumlah RM91.97 juta. Pendapatan pelaburan bersih pula mencecah RM117.71 juta, disokong oleh keuntungan nilai saksama hartanah pelaburan sebanyak RM24.85 juta.
Keuntungan sebelum cukai bagi tempoh berkenaan direkodkan pada RM89.46 juta, dengan pendapatan boleh agih sebanyak RM66.10 juta atau 4.13 sen seunit.
Bagi suku semasa, Paradigm REIT mencatatkan hasil RM60.85 juta dan NPI RM41.72 juta, masing-masing meningkat 4.4% dan 1.8% berbanding suku sebelumnya.
Lonjakan keuntungan selepas cukai sebanyak 86.3% pada suku tersebut didorong terutamanya oleh keuntungan nilai saksama hartanah pelaburan.
Paradigm REIT turut mencadangkan pengagihan pendapatan sebanyak kira-kira 99.3% daripada pendapatan boleh agih, berjumlah RM65.6 juta atau 4.10 sen seunit, yang akan dibayar pada 27 Februari 2026 kepada pemegang unit yang layak pada 11 Februari 2026.
Setakat 31 Disember 2025, nilai aset bersih (NAV) Paradigm REIT berjumlah RM1.683 bilion, dengan NAV seunit RM1.0513, berasaskan 1.601 bilion unit dalam edaran.
Jumlah aset keseluruhan REIT itu bernilai RM2.60 bilion, disokong oleh tiga aset runcit utama iaitu Bukit Tinggi Shopping Centre, Paradigm Mall Petaling Jaya dan Paradigm Mall Johor Bahru.
Paradigm REIT juga melaporkan jumlah pinjaman sebanyak RM842.82 juta, dengan nisbah hutang kepada nilai aset pada 32.41% dan kadar faedah purata wajaran 4.03%, kesemuanya pada kadar tetap.
Pengurus REIT itu berkata, prestasi yang melepasi unjuran prospektus didorong oleh hasil sewaan yang lebih tinggi khususnya daripada Paradigm Mall Johor Bahru dan Bukit Tinggi Shopping Centre, serta penjimatan kos utiliti hasil insentif tarif elektrik pukal.
Seiring prospek ekonomi yang diunjurkan berkembang antara 4.0% hingga 4.5% pada 2026, pengurusan Paradigm REIT menyatakan kekal berhati-hati optimis terhadap prospek industri runcit, sambil meneruskan pengurusan aset secara proaktif bagi memastikan pendapatan dan pengagihan yang mampan kepada pemegang unit. - DagangNews.com








