KUALA LUMPUR 29 Okt - RHB Investment mengunjurkan untung bersih P.A. Resources Bhd (PARB) selama tiga tahun meningkat pada CAGR 20.5% dari FY23 sehingga FY26.
Firma penyelidikan itu berkata, unjuran itu didorong oleh pengembangan kapasiti syarikat dan jangkaan pembaharuan kontrak dalam industri pertumbuhan tinggi.
Katanya, ramalan itu juga berdasarkan penerimaan kontrak RM1.1 bilion daripada First Solar pada Januari 2024.
RHB Investment berkata, bagi memenuhi permintaan, kumpulan itu mengembangkan kapasiti kepada 3,200 tan sebulan pada 2QFY24 dan merancang untuk menggandakannya kepada 7,000 tan menjelang FY26.
PARB mempunyai tunai bersih sebanyak RM62.3 juta atau 4.1 sen sesaham pada FY24.
"Kami menjangkakan syarikat akan kekal dalam kedudukan tunai bersih sepanjang FY25F sehingga FY27. Sementara itu, kami meramalkan sasaran pulangan ke atas ekuiti (ROE) akan meningkat kepada 15% hingga 20% pada tempoh tersebut.
"Walaupun kumpulan itu tidak mempunyai polisi dividen, ia membayar DPS sebanyak 1 sen pada FY24, menghasilkan 3.1% harga semasa dan mewakili nisbah pembayaran sebanyak 31%," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
RHB Investment juga menjangkakan semua jualan dalam dolar Amerika Syarikat (AS) akan meningkat 1% dalam AS/RM dan boleh membawa kepada peningkatan 1.1%.
"Kami memberikan harga sasaran (TP) 45 sen bagi satu saham terhadap kumpulan, berdasarkan P/E yang diagihkan sebanyak 13x pada FY25F.
“Kami berpendapat penilaian itu wajar selepas mengambil kira rekod prestasi sejarah syarikat dan profil pelanggan yang kukuh serta trajektori pertumbuhan pendapatan yang positif pada masa hadapan.
"Sementara itu, lanjutan kontrak kumpulan dengan First Solar menawarkan keterlihatan hasil jangka panjang, mengurangkan pergantungannya pada turun naik permintaan jangka pendek merentas pelbagai industri," katanya.- DagangNews.com








