Untung bersih MCE bagi 2QFY26 susut kepada RM4.5 juta disebabkan tiada lagi penjualan tanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih MCE bagi 2QFY26 susut kepada RM4.5 juta disebabkan tiada lagi penjualan tanah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 26 MacMCE Holdings Berhad mencatatkan penurunan keuntungan bersih kepada RM4.57 juta bagi suku kedua berakhir 31 Januari 2026 (2QFY26), berbanding RM9.53 juta setahun lalu.


Syarikat berkenaan menjelaskan penyusutan tersebut berpunca daripada ketiadaan keuntungan sekali sahaja hasil pelupusan tanah yang direkodkan dalam tempoh suku yang sama pada tahun kewangan 2025.


Selain itu maklumnya kepada Bursa Malaysia, peningkatan kos operasi berikutan fasa peningkatan kapasiti kemudahan baharu MCE Auto Hub di Serendah, Selangor turut menjejaskan prestasi syarikat.


"Bagaimanapun, hasil kumpulan meningkat kepada RM57.58 juta dalam suku dikaji, disokong sumbangan daripada aktiviti reka bentuk dan pembangunan produk bagi model automotif baharu," kata MCE.


Bagi tempoh enam bulan pertama FY26, kumpulan itu merekodkan hasil terkumpul RM97.1 juta, dipacu pelaksanaan program berterusan serta pengiktirafan yuran pembangunan bagi model kenderaan baharu.
 

MCE_DagangNews


Secara suku ke suku (QoQ) pula, prestasi pendapatan turut menunjukkan peningkatan yang didorong kestabilan tahap pengeluaran pelanggan serta sumbangan lebih tinggi daripada projek baharu.


Seiring dengan prestasi positif tersebut tambahnya, Lembaga Pengarah MCE bersetuju mengumumkan pengagihan dividen interim pertama sebanyak 5 sen sesaham yang akan dibayar pada 15 Mei 2026.


Pengarah Urusan Kumpulan, Goh Kar Chun berkata, syarikat mula melihat sumbangan awal daripada program baharu yang menyokong pertumbuhan hasil selepas melalui tempoh peralihan sebelum ini.


"Pengisytiharan dividen tersebut mencerminkan daya tahan kewangan kumpulan ini serta komitmen berterusan untuk memberi pulangan kepada pemegang saham kami," katanya.


MCE merupakan pengeluar peralatan asal (OEM) dengan kepakaran dalam reka bentuk dan pembangunan dalaman, khusus dalam elektronik automotif dan komponen mekatronik. - DagangNews.com