Untung bersih Malakoff bagi FY25 susut kepada RM96.1 juta akibat isu operasi di loji Tanjung Bin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Malakoff bagi FY25 susut kepada RM96.1 juta akibat isu operasi di loji Tanjung Bin

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 31 MacMalakoff Corporation Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak RM96.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.


Menurut kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, keuntungan bersih tersebut menunjukkan penyusutan berbanding RM268.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.


Kemerosotan ini disebabkan bayaran tenaga dan kapasiti lebih rendah daripada Loji Tenaga Tanjung Bin Energy (TBEPP) dan Tanjung Bin Power (TBPP) di Johor dan Loji Tenaga Segari (SEV) di Perak.


"Faktor utama yang menyumbang kepada penurunan ini adalah beberapa insiden operasi pada akhir tahun 2025, termasuk insiden kebakaran dan isu berkaitan rotor yang berlaku di TBPP," kata Malakoff.


Di samping itu jelasnya, penamatan tempoh Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) bagi loji gas di Prai, Pulau Pinang pada Ogos 2025, turut mengaikibatkan prestasi kumpulan berkenaan terjejas sedikit.


Dari segi pendapatan, ia mencatatkan RM7,209.3 juta, susut 19.6% berbanding RM8,969.6 juta pada FY24, manakala perolehan kasar ialah RM1,722.9 juta, turun daripada RM1,973.6 juta pada FY24.


Berdasarkan perkembangan tersebut, pihak Lembaga Pengarah Malakoff bersetuju menetapkan dividen keseluruhan 2.36 sen sesaham, termasuk dividen akhir 0.86 sen yang baharu sahaja diluluskan.
 

Malakoff_DagangNews


"Meskipun berdepan cabaran segmen tenaga terma, segmen rumusan alam sekitar melalui Alam Flora Sdn Bhd terus memberi sumbangan stabil dengan peningkatan 2.0% dalam volum sisa domestik," jelasnya.


Kumpulan berkenaan juga tambahnya, berjaya memperkukuhkan portfolio pengurusan sisa di utara Semenanjung melalui penyempurnaan pengambilalihan kira-kira 49% kepentingan dalam E-Idaman Sdn Bhd.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syahrunizam Samsudin menerusi laporan tahunan tersebut berkata, 2025 merupakan tahun penentukuran semula yang penting bagi portfolio Malakoff.


Beliau menegaskan kumpulan sedang melangkah ke fasa transformasi seterusnya melalui Pelan Strategik 2026 hingga 2030 untuk menjadi pemain Utama dalam tenaga bersepadu dan rumusan alam sekitar.


"Antara pencapaian strategik lain yang diraih termasuklah kejayaan bidaan untuk lanjutan operasi tiga loji gas sedia ada syarikat tersebut iaitu SEV, GB3, dan Prai sehingga 2029/2030," jelasnya.


Di samping itu, pemberian konsesi selama tempoh 34 tahun bagi loji Sisa-ke-Tenaga (WTE) di Sungai Udang, Melaka, turut membantu Malakoff dalam meneruskan momentum pertumbuhan secara jangka panjang.


Melangkah ke hadapan, kumpulan itu komitedmengembangkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) dengan sasaran 1,400 MW menjelang tahun 2031, disokong projek solar berskala besar (LSS). - DagangNews.com