Untung bersih ITMAX melonjak 22.4% kepada RM98.5 juta pada FYE2025, pendapatan Q4 naik lebih 30% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih ITMAX melonjak 22.4% kepada RM98.5 juta pada FYE2025, pendapatan Q4 naik lebih 30%

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 26 Feb - ITMAX System Berhad mencatatkan peningkatan 22.4% tahun ke tahun dalam keuntungan selepas cukai (PAT) kepada RM98.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FYE2025), sekali gus merekodkan prestasi tertinggi dalam sejarah syarikat.

 

Perolehan bagi tahun penuh meningkat 12.1% kepada RM247.0 juta.

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) pula naik 23.1% kepada RM131.9 juta, disokong terutamanya oleh lonjakan 72.7% hasil daripada segmen penyelesaian infrastruktur digital.

 

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025 (Q4FYE2025), hasil meningkat 15.0% tahun ke tahun kepada RM72.6 juta.

 

PBT suku tahunan melonjak 31.4% kepada RM36.7 juta manakala PAT meningkat 30.7% kepada RM27.2 juta, mencerminkan margin yang lebih kukuh serta leverage operasi yang semakin baik.

 

Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 2.3 sen sesaham bagi FYE2025 dengan tarikh kelayakan pada 13 Mac 2026 dan pembayaran dijadualkan pada 27 Mac 2026. Dividen tersebut mewakili nisbah pembayaran dividen sebanyak 25.4%, berbanding 2.0 sen yang diumumkan bagi FYE2024.

 

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, William Tan Wei Lun berkata, kumpulan menutup 2025 dengan prestasi kukuh hasil pelaksanaan berjaya projek bandar pintar jangka panjang serta pengembangan asas hasil berulang infrastruktur digital.

 

Menurutnya, segmen parkir pintar turut mencatatkan prestasi menggalakkan sepanjang tahun, menyumbang secara signifikan kepada pendapatan berulang di samping meningkatkan kecekapan kutipan bagi pihak berkuasa tempatan.

 

Beliau berkata, apabila lebih banyak kontrak yang telah diperoleh beralih daripada fasa pemasangan kepada penjanaan hasil sepenuhnya, kumpulan menjangka kualiti pendapatan akan terus bertambah baik, aliran tunai lebih jelas serta leverage operasi yang lebih tinggi.

 

Dengan saluran projek yang kukuh memasuki fasa penjanaan hasil serta permintaan berterusan terhadap penyelesaian bandar pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI), ITMAX optimis dapat mengekalkan momentum pertumbuhan lebih kukuh dan mencipta nilai berterusan kepada pihak berkepentingan pada tahun akan datang. - DagangNews.com