Untung bersih Harn Len naik kepada RM15.24 juta bagi 2QFY26 didorong margin lebih baik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Harn Len naik kepada RM15.24 juta bagi 2QFY26 didorong margin lebih baik

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 27 Jan – Harn Len Corporation Bhd mencatatkan peningkatan ketara dalam prestasi kewangan apabila untung bersih bagi suku kedua berakhir 30 November 2025 melonjak kepada RM15.24 juta.

 

Menurut laporan kumpulan perladangan tersebut kepada Bursa Malaysia, angka berkenaan adalah hampir dua kali ganda berbanding RM6.92 juta yang direkodkan dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.

 

Katanya, peningkatan berkenaan didorong oleh faktor margin keuntungan yang lebih baik serta sumbangan kukuh daripada segmen perladangan, disokong harga komoditi yang menggalakkan.

 

Bagi suku semasa, Harn Len mencatatkan hasil RM95.93 juta, meningkat berbanding RM86.65 juta pada suku yang sama tahun lalu. 

 

Keuntungan sebelum cukai melonjak kepada RM20.91 juta daripada RM9.88 juta sebelum ini, manakala keuntungan operasi hampir berganda kepada RM23.37 juta.

 

Bagi tempoh kumulatif enam bulan berakhir 30 November 2025, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM19.12 juta berbanding RM11.83 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Hasil kumulatif turut berkembang kepada RM175.48 juta daripada RM159.07 juta.

 

Keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat meningkat kepada RM14.96 juta bagi suku semasa dan RM18.97 juta bagi tempoh tahun ke tarikh, sekali gus mendorong pendapatan sesaham (EPS) asas meningkat kepada 2.44 sen bagi suku semasa dan 3.09 sen bagi tempoh kumulatif.

 

Menurut Harn Len, prestasi kukuh itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh operasi perladangan yang menyumbang RM172.9 juta atau 99% daripada jumlah hasil kumpulan, manakala segmen hartanah dan lain-lain menyumbang RM2.5 juta atau 1%.

 

Kumpulan itu berkata, keuntungan sebelum cukai segmen perladangan dipacu oleh harga purata jualan yang lebih tinggi, walaupun volum jualan kekal stabil. 

 

Sepanjang tempoh tersebut, harga purata jualan FFB direkodkan pada RM950 per tan metrik, CPO pada RM4,120 per tan metrik dan PK pada RM3,024 per tan metrik.

 

Dari segi kedudukan kewangan, Harn Len mencatatkan jumlah aset RM536.45 juta setakat 30 November 2025, dengan tunai dan baki bank meningkat kepada RM80.11 juta berbanding RM48.73 juta pada akhir Mei 2025. 

 

Nilai aset bersih sesaham bagaimanapun sedikit menurun kepada 58.79 sen berbanding 59.45 sen sebelumnya.

 

Menurut kumpulan itu, aliran tunai operasi kekal kukuh dengan aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi berjumlah RM30.65 juta, berbanding RM12.99 juta pada tempoh sama tahun lalu, mencerminkan keupayaan perniagaan menjana tunai yang lebih baik.

 

Mengulas prospek, Harn Len berkata, harga CPO kini berada dalam julat RM3,800 hingga RM4,000 per tan metrik, dengan sokongan daripada mandat biofuel Indonesia serta kesan cuaca La Niña, dan harga purata tahunan dijangka kekal melebihi RM4,000 per tan metrik.

 

“Kumpulan akan terus berhati-hati dan memberi tumpuan kepada strategi meningkatkan kecekapan serta rasionalisasi kos bagi mengurangkan sebarang kesan negatif terhadap operasi,” katanya. - DagangNews.com