Untung bersih Glostrext naik 61% bagi 9MFY26 kepada RM8.8 juta disokong hasil 2 anak syarikat baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Glostrext naik 61% bagi 9MFY26 kepada RM8.8 juta disokong hasil 2 anak syarikat baharu

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 Jan - Glostrext Berhad berjaya mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM8.81 juta bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2026 yang berakhir pada 31 Disember 2025.


Jumlah tersebut melonjak kira-kira 61.06% berbanding RM5.47 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya, dengan peningkatan prestasi ini disokong terutamanya oleh dua anak syarikat baharu.


Tambah kumpulan itu, sumbangan berkenaan dijana menerusi segmen perniagaan yang terkini hasil daripada pengambilalihan Powertecs System Sdn Bhd dan Powertecs Electric Sdn Bhd pada FY25.


"Selain itu pelaksanaan projek yang lebih tinggi dalam segmen perkhidmatan instrumentasi cerucuk dan ujian beban static juga membantu Glostrext," maklum syarikat tersebut kepada Bursa Malaysia.


Bagi suku ketiga sahaja, hasil naik 44.78% kepada RM13.204 juta berbanding RM9.120 juta pada suku  sama tahun lalu, dan secara kumulatif bagi 9MFY26, hasil melonjak 74.90% mencecah RM44.065 juta.


Penyumbang utama menerusi segmen baharu iaitu pembekalan, pengedaran, dan penyelenggaraan sistem bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS) serta alternatur menyumbang sebahagian besar kepada pertumbuhan.


Malaysia kini kata Glostrext, menjadi penyumbang hasil terbesar bagi suku semasa dengan RM6.87 juta (52.04%), manakala Singapura kekal sebagai pasaran utama bagi 9MFY26 iaitu sebanyak RM24.56 juta.


Sementara itu jelas kumpulan penyedia perkhidmatan geoteknikal, keuntungan bersih bagi 3QFY26 meningkat sedikit kepada RM2.42 juta berbanding RM2.36 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.


"Kami berada di landasan betul untuk memberikan keputusan tahunan terbaik sejak penyenaraian pada 2023, dengan pertumbuhan masa depan dijangka terus disokong persekitaran operasi positif," katanya.


Di samping itu, Glostrext terus meneroka peluang perniagaan yang berterusan, termasuk penglibatan dalam projek pusat data di Malaysia dan projek Terminal 5 Lapangan Terbang Changi di Singapura.


Walaupun mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan menjelang FY27, Lembaga Pengarah namun tidak mengisytiharkan sebarang pengagihan dividen kepada pemegang saham bagi suku ditinjau ini. 


Syarikat tersebut sebelum itu sudah membayar dividen interim pertama dan kedua yang masing-masing berjumlah 0.5 sen sesaham pada Ogos 2025 dan Januari 2026. - DagangNews.com