Untung bersih Genting susut 50% kepada RM1 bilion bagi FY25 akibat kos operasi tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Genting susut 50% kepada RM1 bilion bagi FY25 akibat kos operasi tinggi

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 17 AprilGenting Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM1.0 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, penurunan 50% berbanding RM2.0 bilion pada tahun sebelumnya. 


Penyusutan keuntungan ini disebabkan terutamanya oleh peningkatan perbelanjaan operasi, pemasaran, dan pentadbiran, selain faktor pengukuhan nilai ringgit yang mengurangkan sumbangan pendapatan.


Kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia menyatakan, ia merekodkan jumlah hasil sebanyak RM27.7 bilion, yang disifatkan sebagai stabil dan konsisten dengan pencapaian tahunan.


"Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, dan pelunasan (EBITDA) terlaras namun didapati turun kepada RM8.0 bilion berbanding RM8.8 bilion pada tahun kewangan sebelumnya," jelas Genting.


Justeru, selaras dengan pengurusan modal yang berhemat bagi membiayai inisiatif pertumbuhan dan mengurangkan hutang syarikat, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen sebanyak 5.0 sen sesaham.


Sementara itu, prestasi mengikut segmen menunjukkan bahagian riadah dan hospitaliti kekal sebagai tunjang utama dengan menyumbang 82% daripada jumlah hasil dan EBITDA terlaras kumpulan.


Antara pencapaian penting termasuk penganugerahan lesen kasino komersial penuh bagi Resorts World New York City pada Disember 2025 dan pembukaan beberapa tarikan baharu di Resorts World Sentosa.


"Bagi bahagian perladangan, Genting Plantations melaporkan hasil dan keuntungan tinggi menerusi pembuatan hiliran, meskipun berdepan cuaca tidak menentu yang menjejaskan tuaian," tambahnya.


Bersempena sambutan Jubli Intan ke-60 tahun, Genting menekankan tema strategik 'Bersatu, Teguh, Kekal' untuk terus membina daya tahan dalam mengharungi landskap ekonomi global yang mencabar.


Kumpulan berkenaan jelasnya, akan terus kekal optimis terhadap pemulihan aktiviti pelancongan rentas sempadan dan permintaan pelanggan dalam sektor permainan serantau yang semakin stabil. 


Dalam makluman berasingan kepada bursa, ia turut mencadangkan pembaharuan mandat pemegang saham untuk urus niaga pihak berkaitan dan pembelian balik saham syarikat itu. - DagangNews.com