KUALA LUMPUR 27 Nov – Keuntungan bersih Bumi Armada Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3QFY2025) merosot lebih separuh kepada RM96.1 juta berbanding RM211.3 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Hasil suku tahunan turut merudum 35% kepada RM360.7 juta daripada RM551.9 juta, sekali gus mencatat paras terendah sejak suku keempat berakhir 31 Disember 2020.
Tiada dividen diumumkan bagi suku berkenaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan menjelaskan peraturan perakaunan terdahulu telah meningkatkan keuntungan pada peringkat awal walaupun aliran tunai lebih rendah.
Ketika ini, hasil diagihkan secara lebih sekata, menyebabkan keuntungan yang dilaporkan kelihatan lebih rendah berbanding aliran tunai sebenar yang diterima, dan keadaan ini dijangka berterusan.
Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih kumpulan susut 50% kepada RM358.9 juta berbanding RM717.8 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, susulan sumbangan lebih rendah daripada FPSO Armada Kraken dan Armada Olombendo serta kos penerokaan dan penilaian yang lebih tinggi bagi kontrak perkongsian pengeluaran Akia pada 2025.
Aliran tunai bersih daripada operasi turut merosot kepada RM677.8 juta berbanding RM1.1 bilion sebelum ini.
Hasil terkumpul bagi tempoh tersebut juga jatuh 33% kepada RM1.2 bilion berbanding RM1.8 bilion setahun lalu, mencerminkan tekanan ketara terhadap prestasi kewangan kumpulan sepanjang tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Bumi Armada, Gary Neal Christenson berkata, meskipun berdepan penyusutan ketara keuntungan dilaporkan, kumpulan masih mengekalkan keupayaan menjana aliran tunai yang kukuh.
“Keputusan ini menyerlahkan keupayaan berterusan syarikat untuk menjana aliran tunai yang kukuh, disokong oleh operasi yang berdaya tahan serta pelaksanaan yang berdisiplin. Syarikat akan terus memanfaatkan kekuatan kewangan untuk merebut peluang pertumbuhan melalui pembidaan projek baharu serta inisiatif korporat yang berhemah,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.
Dari sudut pasaran saham, harga saham Bumi Armada susut 1.64% kepada 30 sen sesaham, meletakkan permodalan pasaran kumpulan pada RM1.8 bilion.
Sehingga kini, saham tersebut telah jatuh 54.2% sejak awal tahun. - DagangNews.com








