KUALA LUMPUR 23 Dis – Untung bersih Analabs Resources Bhd bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2025 merosot 27.8% tahun ke tahun (YoY) kepada RM12.58 juta, berbanding RM17.43 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Perkembangan tersebut didorong oleh pendapatan didapati lebih rendah merentas beberapa segmen utama serta kos kewangan yang semakin meningkat.
Kos kewangan kumpulan melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM9.33 juta pada 2QFY2026 daripada RM2.73 juta setahun sebelumnya, sekali gus menekan prestasi keuntungan kumpulan.
Hasil suku tahunan turut menurun 5.17% YoY kepada RM34.68 juta berbanding RM36.67 juta, disumbangkan oleh penurunan prestasi beberapa segmen perniagaan utama.
Sumbangan hasil daripada segmen pembuatan, formulasi dan jualan resin, bahan kimia serta bahan binaan merosot ketara 46.8% kepada RM9.02 juta daripada RM16.95 juta, susulan penurunan jualan papan serpai berlapis melamin dan bahan binaan.
Hasil daripada kerja kontrak, pemasangan paip dan kerja pemulihan pula menyusut 1.4% kepada RM7.61 juta daripada RM7.71 juta, disebabkan jumlah pesanan kerja yang lebih rendah serta persaingan pasaran yang sengit sehingga memberi tekanan ke atas harga.
Bagaimanapun, segmen pegangan pelaburan dan penyewaan hartanah mencatat peningkatan hasil 8.7% kepada RM11.04 juta berbanding RM10.15 juta, manakala segmen pengurusan aset dan portfolio menyumbang hasil RM5.77 juta, berbanding sifar sebelum ini.
Lembaga pengarah tidak mengesyorkan sebarang dividen bagi suku yang dikaji.
Pada tempoh sama tahun lalu, kumpulan memaklumkan dividen sebanyak empat sen.
Bagi separuh pertama FY2026 (1HFY2026), untung bersih kumpulan merosot 40.62% kepada RM13.65 juta daripada RM22.99 juta, selari dengan penurunan hasil 18.09% kepada RM56.36 juta berbanding RM68.81 juta.
Analabs Resources berkata prospek perniagaan kekal mencabar, namun kumpulan telah melaksanakan strategi lindung nilai yang bersesuaian bagi mengawal struktur kos serta mengenal pasti peluang baharu untuk mengurangkan kesan tekanan persekitaran operasi. - DagangNews.com








