Untung bersih anak syarikat PRG di Hong Kong, Furniweb naik 201% bagi FY25 kepada RM27.1 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih anak syarikat PRG di Hong Kong, Furniweb naik 201% bagi FY25 kepada RM27.1 juta

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 31 Mac – Anak syarikat PRG Holdings Berhad yang disenaraikan di Bursa Hong Kong, Furniweb Holdings Limited, mencatatkan lonjakan keuntungan bersih 201.1% kepada RM27.1 juta.


Kumpulan tersebut berkata, peningkatan prestasi bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25) itu, dipacu oleh sumbangan keuntungan yang lebih tinggi daripada segmen kecekapan tenaga. 


Ia turut memperoleh keuntungan pertukaran mata wang asing (forex) bersih, dan ketiadaan peruntukan kerugian kredit jangkaan (ECL) sebanyak RM7.9 juta yang sudah diiktiraf pada tahun kewangan 2024.


"Perolehan kumpulan bagi tahun 2025 meningkat 22.6% kepada RM234.3 juta berbanding RM191.1 juta pada tahun sebelumnya," kata PRG dalam makluman syarikat itu kepada Bursa Malaysia hari ini. 


Segmen kecekapan tenaga muncul sebagai penyumbang terbesar dengan peningkatan hasil sebanyak 56.9% kepada RM154.7 juta, didorong faktor peningkatan pendapatan diraih daripada projek-projek utama.


Ini terutamanya kontrak pembangunan pusat data (DC) di Malaysia serta perkhidmatan penyelenggaraan, namun segmen pembuatan mencatatkan penurunan hasil kira-kira 14% kepada sebanyak RM79.5 juta.

 

Furniweb


Kemerosotan tersebut jelas PRG, disebabkan oleh tempahan jualan yang lebih rendah diterima Furniweb serta kesan forex semasa akibat kelemahan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit.


"Lembaga Pengarah subsidiari berkenaan mengisytiharkan dividen khas sebanyak HK$0.015 sesaham atau bersamaan keseluruhan RM7.575 juta yang akan dibayar pada atau sekitar 23 April 2026," katanya.


Selain itu, syarikat tersebut mempelbagaikan perniagaan melalui pelaburan hartanah dengan mengambil alih sejumlah 50 unit kondominium Picasso Residence di Malaysia daripada PRG pada 7 Februari 2025.


Bagi prospek akan datang, kumpulan kekal optimis terhadap segmen kecekapan tenaga yang disokong oleh permintaan struktur seperti pengembangan projek DC dan inisiatif kelestarian pembangunan. 


Bagaimanapun kata PRG, Furniweb akan terus berwaspada terhadap segmen pembuatan berikutan isu ketidaktentuan dasar perdagangan global, turun naik mata wang asing, serta ketegangan geopolitik 


"Tiga faktor berkenaan dikenal pasti berpotensi menjejaskan kos pengangkutan dan rantaian bekalan global, sekali gus memberi kesan kepada pertumbuhan syarikat," katanya. - DagangNews.com