KUALA LUMPUR 21 April — Aeon Co (M) Berhad mencatatkan peningkatan 4.5% keuntungan bersih kepada RM133.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berbanding RM128.0 juta pada FY24.
Kata kumpulan itu, pertambahan prestasi ini didorong terutama oleh keberkesanan inisiatif digital yang memperdalam penglibatan pelanggan serta pelaksanaan keutamaan strategik secara berdisiplin.
Selain itu ujarnya, pengukuhan operasi dalam perniagaan peruncitan dan pengurusan hartanah, turut menjana pendapatan apabila meningkat kepada RM4.29 bilion daripada RM4.26 bilion pada sebelumnya.
"Lembaga Pengarah justeru mencadangkan dividen akhir sebanyak 4.5 sen sesaham, melibatkan jumlah pembayaran RM63.2 juta atau nisbah pembayaran kira-kira 47%," maklum Aeon kepada Bursa Malaysia.
Sementara itu jelas kumpulan peruncitan berkenaan lagi, nilai aset bersih syarikat tersebut yang merentasi 27 premis beli-belah di seluruh negara ketika ini sudah mencecah sebanyak RM2.0 bilion.
Dalam pada itu, Pengerusinya, Datuk Iskandar Sarudin berkata, syarikat berkenaan kekal tangkas menempuhi persekitaran pasaran yang dinamik dengan memanfaatkan ekosistem 'Aeon Living Zone'.

Pelaburan berterusan dalam pengubahsuaian gedung dan pengenalan teknologi troli pintar, kaunter daftar keluar sendiri, serta peningkatan platform e-dagang myAEON2go mengukuhkan kesetiaan jenama.
"Segmen pengurusan hartanah turut menyumbang kepada pertumbuhan dengan kadar sewaan yang stabil dengan keluasan bersih boleh sewa (NLA) keseluruhan sebanyak 1.2 juta meter persegi," ujarnya.
Di samping itu jelas Iskandar, Aeon terus memperkasakan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) selaras dengan matlamat pelepasan sifar bersih gas rumah hijau negara menjelang 2050.
Ia terbukti apabila syarikat berkenaan tambahnya, menerima pengiktirafan Anugerah Emas pada The Edge Malaysia ESG Awards bagi prestasi ESG yang paling banyak meningkat dalam tempoh tiga tahun.
Bagi tahun 2026, Aeon menumpukan kepada inovasi yang meningkatkan pengalaman pelanggan dan memperdalam kerjasama dengan rakan niaga serta pembekal untuk memastikan pertumbuhan mampan.
"Syarikat kini diterajui oleh Pengarah Urusan yang baharu, Tsugutoshi Seko, dan akan memacu strategi pertumbuhan masa hadapan kumpulan," kata beliau. - DagangNews.com








