KUALA LUMPUR 31 Okt - Penyedia perkhidmatan pemasangan dan ujian semikonduktor Unisem Bhd memberitahu akan kekal berhati-hati terhadap prospek operasi dalam keadaan ketidaktentuan berterusan yang berpunca daripada tarif dan sekatan perdagangan global.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Unisem mengumumkan keuntungan bersih bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 menurun kepada RM19.38 juta berbanding RM26.75 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Pendapatan sesaham turut merosot kepada 1.2 sen daripada 1.66 sen sebelum ini.
Unisem menjelaskan penurunan keuntungan bersih tersebut berpunca daripada pendapatan operasi yang lebih rendah, susulan penurunan keuntungan pertukaran asing serta peningkatan perbelanjaan operasi di loji baharu kumpulan di Gopeng, Perak.
Bagaimanapun, hasil suku tahunan meningkat kepada RM492.74 juta berbanding RM409.74 juta pada suku yang sama tahun lalu, disokong oleh jumlah jualan yang lebih tinggi.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025, keuntungan bersih Unisem menurun kepada RM34.52 juta daripada RM51.97 juta pada tempoh sama tahun 2024, manakala hasil meningkat kepada RM1.39 bilion berbanding RM1.17 bilion sebelumnya.
Lembaga Pengarah turut meluluskan dividen interim ketiga sebanyak dua sen sesaham, dengan tarikh kelayakan pada 19 Disember 2025 dan pembayaran dijadualkan pada 9 Januari 2026.
Pihak pengurusan menjelaskan walaupun margin keuntungan tertekan, asas jualan kekal kukuh, disokong oleh permintaan berterusan daripada pasaran domestik dan eksport.
Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada kecekapan kos serta penambahbaikan operasi di loji Gopeng bagi memperkukuh prestasi kewangan dalam suku-suku mendatang. - DagangNews.com








