KUALA LUMPUR 11 Sept – Unique Fire Holdings Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Unique Fire Industry Sdn Bhd (UFI), memeterai Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan individu bernama Teoh Han Chong bagi pembelian sebidang tanah industri di Kota Kemuning, Selangor dengan harga RM15.54 juta.
Tanah pegangan bebas berkeluasan 4,926 meter persegi itu terletak di Jalan Anggerik Mokara 31/54, Seksyen 31, Kota Kemuning, bersebelahan dengan fasiliti pembuatan sedia ada UFI.
Menurut Unique Fire, harga pembelian ditentukan secara “willing-buyer willing-seller” selepas mengambil kira kedudukan strategik tanah berkenaan serta penilaian pasaran sebanyak RM14.9 juta yang dibuat oleh Jones Lang Wootton pada 8 September 2025.
UFI, yang beralamat di Kota Kemuning, Shah Alam, terlibat dalam pemasangan, pembuatan dan pengedaran sistem perlindungan kebakaran aktif serta aksesori berkaitan untuk sektor bangunan.
Rasional pengambilalihan
Syarikat menjelaskan tujuan utama pembelian tanah ini adalah untuk pengembangan perniagaan kumpulan pada masa depan.
“Tanah yang terletak di kawasan perindustrian utama Kota Kemuning ini dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi serta penyelarasan sumber apabila dimajukan kelak, memandangkan lokasinya yang strategik dan mudah diakses,” kata Unique Fire dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Bagaimanapun, syarikat menegaskan, ketika ini, tiada pelan pembangunan formal difailkan kepada pihak berkuasa berkenaan. Oleh itu, butiran pelan pembangunan dan kos terperinci masih belum tersedia.
Unique Fire menambah, pengambilalihan dan pembangunan tanah ini dijangka menyumbang secara positif kepada aliran hasil dan keuntungan kumpulan pada masa depan. - DagangNews.com








