BANGI 26 Jan – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima sumbangan yang berjumlah RM550,000 daripada Etiqa General Takaful Berhad bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam jangka panjang.
Sumbangan itu merangkumi dana amal jariah pembangunan komuniti menerusi pembinaan telaga tiub di dua lokasi di Selangor serta bantuan dermasiswa dan zakat UKM menjayakan agenda kebajikan pelajar.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) UKM, Prof Dr Bariah Mohd Ali merakamkan penghargaan atas keyakinan Etiqa memilih institusi itu selaku rakan strategik industri.
"Kami bersedia membantu dalam melaksanakan inisiatif kebajikan dan pendidikan berasaskan kepakaran akademik dan penyelidikan," kata beliau mewakili Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sufian Jusoh.
Menerusi sumbangan itu jelasnya, sebanyak RM300,000 daripadanya akan diperuntukkan untuk pembinaan telaga tiub di Sekolah Kebangsaan Bangi dan Masjid Darul Tahsis, Kampung Melayu, Pulau Carey.

Pelaksanaan projek ini akan disokong kepakaran akademik UKM bagi memastikan penyediaan bekalan air bersih yang selamat, mampan dan berkualiti untuk kegunaan jangka panjang komuniti setempat.
Ia dikendalikan dengan bantuan penuh daripada Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Prof ChM Dr Ishak Ahmad, manakala projek tersebut diterajui oleh Ketuanya, Prof Madya PGeol Dr Mohd Hariri Arifin.
Sementara baki RM250,000 pula tambah Bariah, bakal dimanfaatkan bagi membantu pelajar UKM daripada latar belakang sosioekonomi yang memerlukan bantuan kewangan sepanjang tempoh pengajian mereka.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa, Khairoel Faiezy Hasnan dalam ucapannya menyifatkan kerjasama bersama UKM membolehkan sumbangan disalurkan secara berfokus, strategik dan mampan.

"Usaha ini sekali gus memberi impak ketara buat masyarakat dan sektor pendidikan, malah inisiatif ini juga sebahagian daripada program Tanggungjawab Zakat Korporat tahunan Etiqa sendiri," katanya.
Tambahnya, ia juga kesinambungan kerjasama kedua-dua pihak, selepas pelaksanaan program komuniti pada 2023 di Balai Raya Kampung Labu Lanjut dan sumbangan wakaf peralatan di Pusat Kesihatan UKM.
Sehubungan itu, Khairoel Faiezy berkeyakinan, usaha murni Etiqa memberi penekanan untuk kebajikan masyarakat serta pembangunan modal insan secara berterusan, dapat dinikmati kumpulan sasaran.
Majlis itu disaksikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM, Prof Ts Dr Norinsan Kamil Othman, dan Pengarah Yayasan Canselor, Prof Ts Dr Faizal Mohamed. - DagangNews.com








