UKM sasarkan 17,000 penduduk di Bangi dan Pulau Carey terima manfaat projek telaga tiub | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UKM sasarkan 17,000 penduduk di Bangi dan Pulau Carey terima manfaat projek telaga tiub

MOHD HARIRI Arifin (tiga dari kanan) bergambar di tapak projek telaga tiub di Kampung Labu Lanjut, Sepang yang dirasmikan Exco Selangor, Datuk Borhan Aman Shah (lima dari kiri) pada 2023. - Foto ihsan UKM
Oleh Amree Ahmad

BANGI 26 Jan - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Fakulti Sains dan Teknologi (FST) kini dalam usaha memperluaskan inisiatif bekalan air bersih melalui projek pembinaan telaga tiub.


Terbaharu, institusi pengajian tinggi awam tersebut menyasarkan Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi dan Masjid Darul Tahsis, Pulau Carey, Klang untuk pelaksanaan projek berkenaan dalam beberapa bulan.


Ketua Projek, Prof Madya PGeol Dr Mohd Hariri Arifin berkata, projek yang dibiayai dana zakat daripada Etiqa General Takaful Berhad itu dijangka memanfaatkan kira-kira 17,000 orang penduduk terbabit.


"Kami menyasarkan seramai 10,000 orang di sekitar di SK Bangi serta 7,000 penduduk di Pulau Carey dapat menerima faedah menerusi telaga tiub itu dalam tahun ini," katanya kepada DagangNews.Com.


Beliau yang merupakan pensyarah di FST UKM menambah, ia susulan kejayaan projek rintis melibatkan Kampung Labu Lanjut di Sepang pada 2022 dengan turut menerima dana daripada kumpulan takaful itu.

 

UKM
MOHD HARIRI Arifin (kanan) memberi penerangan mengenai projek telaga tiub di Kampung Labu Lanjut, Sepang yang dirasmikan Exco Selangor, Datuk Borhan Aman Shah pada 2023. - Foto ihsan UKM


Jelasnya, pihaknya pernah melaksanakan projek sama di Politeknik Kota Bharu, Kelantan dan Sungai Petani, Kedah sebelum ini setelah menerima aduan awam berhubung isu gangguan bekalan air bersih.


Projek di Labu Lanjut ujar Mohd Hariri, berjaya membantu lebih 20,000 penduduk ketika loji rawatan air terpaksa ditutup akibat banjir besar di kawasan berkenaan dan memperoleh maklum balas yang positf.


"Kos pembinaan bagi satu telaga tiub seperti di Labu Lanjut adalah RM18,500, namun untuk kali ini pula bergantung kepada kedalaman sumber air serta keadaan geologi kawasan tersebut," jelasnya.


Proses pembinaan tambah beliau, bermula daripada kajian pemetaan satelit, pengimbasan tapak, sehingga pembinaan lengkap yang dijangka mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disiapkan.


Mohd Hariri berkata, bagi projek di SK Bangi, pasukan pengkaji UKM menyasarkan proses penggerudian sedalam 100 meter untuk mendapatkan sumber air mentah yang sesuai untuk kegunaan masyarakat.
 

UKM
BARIAH Mohd Ali (dua dari kiri) menerima sumbangan projek telaga tiub daripada Khairoel Faiezy Hasnan (tiga dari kiri) di UKM Bangi hari ini. - DagangNews.com / Amree Ahmad


Menurutnya, sistem telaga tiub memang direka khas dengan penapis yang disesuaikan mengikut kualiti air mentah bawah tanah ditemui di lokasi tapak, dalam usaha menangani masalah ferum atau karat.


"Kami tidak mahu projek ini bersifat 'touch and go', malah pihak UKM ada sesi lawatan berkala bagi mendidik komuniti mengenai penyelenggaraan penapis serta melakukan ujian kualiti air," katanya.


Pelaksanaan itu kata Mohd Hariri, dibuat secara berterusan sebagai sebahagian daripada kajian penyelidikan universiti sendiri bagi memastikan ia memenuhi spesifikasi Kementerian Kesihatan Malaysia.


Sehubungan itu tegasnya, air dari telaga berkenaan selamat diminum dan beliau turut menyatakan kesediaan pihak UKM membantu mana-mana komuniti yang menghadapi masalah gangguan bekalan air.
 

UKM
MOHD Hariri Arifin (kanan) menjelaskan mengenai projek telaga tiub di Lembah Bujang, Sungai Petani, Kedah selepas dirasmikan pada 2024. - Foto ihsan UKM 


Isu berkenaan tambah beliau, termasuk air berkarat melalui pelbagai kepakaran yang sedia ada di institusi pengajian itu, namun tertakluk kepada permohonan dana diterima daripada pihak korporat.


"Projek di SK Bangi dijangka dapat memulakan fasa pengimbasan tapak selepas Hari Raya Aidilfitri ini sebelum mesin penggerudian besar dibawa masuk ke tapak untuk penggerudian," jelas Mohd Hariri.


Hari ini, Etiqa sekali lagi tampil menyampaikan sendiri sumbangan berjumlah RM300,000 untuk pembinaan telaga tiub di dua lokasi terkini itu menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairoel Faiezy Hasnan.


Dana berkenaan diterima Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) UKM, Prof Dr Bariah Mohd Ali, dengan turut disaksikan oleh Dekan FST UKM, Prof ChM Dr Ishak Ahmad.


Selain itu, Etiqa menyerahkan RM250,000 yang bakal dimanfaatkan bagi membantu pelajar UKM daripada latar belakang sosioekonomi serta memerlukan bantuan kewangan. - DagangNews.com