KUALA LUMPUR 27 Okt – Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd bekerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi menubuhkan Huawei ICT Academy di UiTM Johor untuk melahirkan bakat tempatan yang mahir dalam teknologi digital dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Huawei ICT Academy akan memanfaatkan kepakaran globalnya dan program pensijilan bertaraf industri dalam bidang 5G, Kecerdasan Buatan (AI) dan Pengkomputeran Awan, sebagai platform untuk memperkukuh ekosistem bakat digital UiTM dalam domain teknologi utama.
Kerjasama itu dimeterai dengan Surat Hasrat (LoI) yang ditandatangani sempena acara Huawei Intelligent World 2035 di Segamat, Johor.
Pelbagai aktiviti diadakan sempena penganjuran acara tersebut termasuk seminar dan bengkel untuk pelajar mengenai trend terkini dan laluan kerjaya dalam AI, pengkomputeran awan dan 5G.
Ia juga memfokuskan bagaimana platform pintar akan mentransformasikan sektor utama termasuk penjagaan kesihatan, makanan, mobiliti, perniagaan dan tenaga.
Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun berkata, Huawei ICT Academy diwujudkan sebagai platform antara akademia dan industri dalam menyediakan latihan profesional dan pensijilan antarabangsa kepada bakat generasi muda.
“Setakat ini, Huawei Malaysia telah melatih lebih 54,000 individu dalam kemahiran digital, melepasi sasaran awal 50,000 menjelang 2025, termasuk ribuan pelajar di 52 institusi pengajian tinggi awam dan swasta melalui Huawei ICT Academy.
“Selain latihan, pelajar universiti turut mengambil bahagian dalam Huawei ICT Competition, platform global yang membolehkan peserta Malaysia menunjukkan inovasi dan kepakaran teknikal bertaraf dunia.
“Program ini juga memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan serta memastikan universiti kekal relevan dalam menyediakan pelajar dengan pengalaman teknologi sebenar,” katanya.
Dengan penubuhan Huawei ICT Academy, Huawei dan UiTM berharap dapat melahirkan tenaga kerja tempatan yang mampu menyokong transformasi digital Malaysia menjelang 2035, selari dengan konsep Intelligent World 2035 yang menekankan kepentingan AI, 5G dan pengkomputeran awan dalam kehidupan seharian dan sektor perniagaan. - DagangNews.com








