KUALA LUMPUR 24 April – UEM Sunrise Bhd sedang merangka pelan pemulihan besar-besaran apabila menetapkan sasaran untuk menggandakan pulangan atas ekuiti (ROE) sehingga tiga kali ganda dalam tempoh lima tahun akan datang.
Sasaran itu menggambarkan usaha agresif untuk memulihkan prestasi kumpulan yang ketika ini masih lemah.
Ketika ini, ROE syarikat dianggarkan sekitar 1 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, menunjukkan asas keuntungan yang rendah tetapi membuka ruang pertumbuhan yang besar jika strategi yang dirancang berjaya dilaksanakan.
Pihak pengurusan berkata sasaran tersebut akan dicapai melalui strategi mempercepatkan pembangunan projek hartanah, memperkukuh aset pelaburan yang menjana pendapatan berulang serta memaksimumkan nilai tanah sedia ada.
Antara tumpuan utama ialah pembangunan tanah milik syarikat di Johor, khususnya di kawasan Gerbang Nusajaya yang mempunyai potensi pembangunan berskala besar.
Menurut laporan penyelidikan oleh RHB Research, kira-kira 1,000 ekar tanah telah dikenal pasti untuk tujuan memaksimumkan nilainya sama ada melalui jualan terus atau kerjasama pembangunan, dengan anggaran mencecah sekitar RM4 bilion.
Selain itu, UEM Sunrise turut merancang untuk meningkatkan saiz aset pelaburan hartanahnya kepada antara RM1.3 bilion hingga RM1.5 bilion berbanding kira-kira RM800 juta pada tahun 2025.
Syarikat juga dilihat akan memberi tumpuan kepada pembangunan projek baharu dengan lebih agresif selepas melakukan penstrukturan semula pasukan pengurusan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek.
Sementara itu, CIMB Research menyatakan sasaran ROE tiga kali ganda menjelang 2030 itu bergantung kepada pelaksanaan strategi tiga hala yang telah diumumkan oleh syarikat.
Strategi tersebut merangkumi pemecutan aktiviti pembangunan, pengembangan aset pelaburan serta memaksimumkan nilai tanah melalui jualan atau usaha sama strategik.
Dalam masa sama, UEM Sunrise turut dilihat berada dalam kedudukan kewangan yang lebih stabil dengan nisbah hutang bersih sekitar 37 peratus pada 2025 yang memberi ruang untuk pelaburan baharu yang boleh meningkatkan nilai aset bersih.
Bagaimanapun, penganalisis menegaskan bahawa pelaksanaan strategi ini akan menjadi faktor utama sama ada sasaran tersebut dapat dicapai atau tidak, memandangkan prestasi sebelum ini agak perlahan.
Walaupun begitu, kedua-dua firma penyelidikan iaitu RHB Research dan CIMB Research mengekalkan saranan “Beli” terhadap saham UEM Sunrise dengan pandangan bahawa potensi pemulihan dan nilai tanah strategik di Johor boleh menjadi pemangkin utama kenaikan semula penilaian syarikat. - DagangNews.com








