UEM Group rancang beli baki pegangan UEM Edgenta dengan bayaran tunai RM1.10 setiap saham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UEM Group rancang beli baki pegangan UEM Edgenta dengan bayaran tunai RM1.10 setiap saham

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Nov – UEM Group Berhad mencadangkan pelaksanaan pengurangan modal terpilih dan pembayaran balik (cadangan SCR) kepada pemegang saham UEM Edgenta Berhad, anak syarikat yang dimilikinya dengan pegangan 69.14%, selaras dengan Seksyen 116 di bawah Akta Syarikat 2016.  

 

UEM Group berkata, di bawah Cadangan SCR itu, pemegang saham yang layak akan menerima RM1.10 bagi setiap saham biasa yang dipegang. 

 

“Tawaran ini merangkumi baki 257 juta saham atau pegangan 30.86%, dengan jumlah keseluruhan pembayaran tunai bernilai RM282 juta. 

 

“Harga ini menawarkan premium sebanyak 26.4% berbanding harga saham dagangan terakhir pada RM0.87 dan 38.5% berbanding harga purata berwajaran volum 6 bulan iaitu RM0.79,” kata UEM Group dalam satu kenyataan.

 

Cadangan SCR bertujuan memacu pertumbuhan dan mengukuhkan prospek jangka panjang UEM Edgenta. 

 

Walaupun operasi teras telah menunjukkan kemajuan pasca-pandemik, prestasi kewangan keseluruhan masih kurang memberangsangkan berbanding sebelum pandemik, terutamanya akibat kenaikan kos operasi.  

 

ARTIKEL BERKAITAN: UEM Edgenta akan diswastakan, menurut laporan media perniagaan

 

“Langkah ini turut memberikan UEM Edgenta fleksibiliti lebih luas dalam menetapkan hala tuju strategik, melaksanakan inisiatif strategik dan menguruskan perniagaan pelbagai sektor dengan lebih berkesan. 

 

“Ini dijangka meletakkan syarikat dalam kedudukan lebih baik untuk menguruskan sumber secara cekap dan menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran,” katanya.

 

Penerimaan cadangan ini oleh Lembaga Pengarah UEM Edgenta dan pemegang saham yang layak dibuka sehingga 9 Januari 2026.

 

Setelah cadangan dimuktamadkan, UEM Group akan menjadi pemegang saham tunggal, sekaligus menjadikan UEM Edgenta anak syarikat milik penuh UEM Group.  

 

UEM Group ditubuhkan pada 1966 dan merupakan anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad. Perniagaan teras syarikat merangkumi lebuh raya, perbandaran dan pembangunan hartanah, kejuruteraan dan pembinaan, pengurusan aset dan fasiliti, serta industri hijau melalui pelbagai anak syarikat termasuk UEM Edgenta dan UEM Lestra. - DagangNews.com