KUALA LUMPUR 28 Nov – UEM Group Bhd sedang merancang untuk mengambil alih sepenuhnya UEM Edgenta Bhd yang mempunyai kedudukan tunai tinggi, memandangkan penilaian saham syarikat itu berada pada paras rendah ketika ini, menurut sumber, lapor The Edge.
Semalam, UEM Edgenta memaklumkan saham dagangannya digantung bermula pukul 4.27 petang bagi menunggu pengumuman penting syarikat.
UEM Group, yang merupakan anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd kini memiliki 69.14% pegangan dalam UEM Edgenta.
Harga saham UEM Edgenta merosot daripada paras RM1.60 pada tahun 2021 kepada 62 sen setahun lalu. Walaupun UEM Edgenta kembali pulih tahun ini tetapi masih jauh daripada paras tertinggi sebelum ini.
Sahamnya ditutup pada 87 sen pada Khamis, menilai syarikat pada RM718.19 juta. Ia diniagakan pada kira-kira 0.5 kali aset bersih sesaham RM1.75 setakat 30 Sept.
Berdasarkan harga penutupan tersebut, proses pemilikan penuh dijangka menelan kos lebih RM221 juta kepada UEM Group, bergantung kepada premium yang sanggup dibayar untuk membeli baki saham yang belum dimiliki.
Tunai dan setara tunai UEM Edgenta berjumlah RM556.82 juta setakat 30 Sept.
Setelah mengambil kira jumlah pinjaman RM397.85 juta, termasuk RM363.69 juta hutang jangka pendek, syarikat berada dalam kedudukan tunai bersih RM159 juta, tidak termasuk liabiliti sewaan sebanyak RM16.13 juta.
Pemegang saham institusi lain dalam UEM Edgenta termasuk Urusharta Jamaah Sdn Bhd dengan pegangan 5.75%, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan 2.48% dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dengan 0.76%.
Pada Rabu lalu, UEM Edgenta mengumumkan prestasi kewangannnya bagi suku berakhir 30 Sept.
UEM Edgenta mencatat kerugian sekali bayar sebanyak RM96.4 juta kerana menilai semula beberapa asetnya, termasuk nilai tambahan daripada pembelian syarikat lain (goodwill), aset jangka panjang seperti bangunan dan peralatan, serta wang tertunggak yang sukar ditagih.
Kerugian ini hanyalah sekali dan tidak menjejaskan operasi harian atau aliran tunai syarikat.
Syarikat mencatat kerugian bersih RM94.12 juta berbanding keuntungan bersih RM10.23 juta setahun sebelumnya. Kerugian sesaham ialah 11.32 sen, berbanding pendapatan sesaham 1.23 sen sebelumnya.
Hasil suku tahunan menurun 2.8% kepada RM770.78 juta daripada RM793.19 juta setahun lalu, disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen perkhidmatan infrastruktur dan penyelesaian penjagaan kesihatan.
Hasil pengurusan aset menurun kepada RM488.89 juta daripada RM492.64 juta, manakala hasil penyelesaian infrastruktur merosot 6.5% kepada RM279.42 juta.
Bagi tempoh sembilan bulan terkumpul, UEM Edgenta mencatat kerugian bersih RM102.47 juta, berbanding keuntungan bersih RM32.56 juta dalam tempoh sama tahun lalu. Hasil menurun 3.7% kepada RM2.15 bilion.
Walau bagaimanapun, UEM Edgenta mencatat keuntungan sepanjang lima tahun antara 2020 hingga 2024.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Shaiful Subhan yang baru dilantik hujung bulan lalu, menggambarkan suku tersebut sebagai “penstrukturan semula yang diperlukan” ketika kumpulan itu beralih antara kitaran konsesi, menekankan bahawa kerugian sekali bayar itu adalah bukan tunai dan tidak menjejaskan kapasiti operasi atau kecairan syarikat.
Beliau berkata, kekuatan berterusan kumpulan ialah di pasaran antarabangsa, dengan kadar pembaharuan kontrak yang tinggi di Singapura dan Taiwan, serta perkongsian baharu di Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
UEM Edgenta sebelum ini dikenali sebagai Faber Group Bhd sebelum menukar nama pada 2015 dengan portfolionya merangkumi perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan, pengurusan fasiliti, penyelenggaraan infrastruktur, khidmat nasihat aset dan penyelesaian teknologi melalui anak syarikat seperti Edgenta Healthcare Management, Edgenta (Singapore), Edgenta Facilities, Edgenta Propel, Opus Group dan Edgenta NXT. - DagangNews.com








