UEM Edgenta lantik Shaiful Subhan sebagai Pengarah Urusan, CEO baharu mulai 1 November 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UEM Edgenta lantik Shaiful Subhan sebagai Pengarah Urusan, CEO baharu mulai 1 November 2025

Shaiful Subhan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Okt – UEM Edgenta Bhd melantik Shaiful Subhan sebagai Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu syarikat itu berkuat kuasa 1 November 2025.

 

UEM Edgenta berkata, Shaiful sebelum ini berkhidmat sebagai Pegawai yang Bertanggungjawab bagi syarikat sepanjang tempoh peralihan selepas peletakan jawatan bekas MD/CEO, Syahrunizam Samsudin pada 31 Ogos lalu.

 

“Shaiful menyertai UEM Edgenta pada Januari 2023 sebagai Ketua Penyelesaian Penjagaan Kesihatan dan Pengarah Urusan Edgenta Mediserve Sdn Bhd. 

 

“Beliau memainkan peranan penting dalam menyelia hala tuju strategik, memacu kecemerlangan operasi dan mengembangkan perniagaan syarikat dalam industri sokongan penjagaan kesihatan di Malaysia,” kata UEM Edgenta dalam satu kenyataan hari ini.

 

Berpengalaman lebih 25 tahun dalam pelbagai sektor, Shaiful membawa kepakaran luas ke dalam kepimpinan baharunya.

 

Sebelum menyertai UEM Edgenta, beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IRIS Corporation Bhd dari 2017 hingga 2022. 

 

Kerjaya beliau sebelum itu turut merangkumi sektor telekomunikasi, penyiaran dan teknologi maklumat.

 

Shaiful berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Birmingham, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti New England, Australia. 

 

Beliau juga merupakan Akauntan Bertauliah dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA) serta Felo Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) di United Kingdom.

 

Menurut syarikat itu, pelantikan Shaiful dibuat selepas proses pemilihan yang menyeluruh dan ketat, mencerminkan keutuhan struktur tadbir urus serta kesinambungan kepimpinan UEM Edgenta.

 

Lembaga Pengarah UEM Edgenta yakin pengalaman luas, pengetahuan industri serta visi strategik Shaiful akan terus memperkukuh kedudukan syarikat sebagai peneraju serantau dalam bidang pengurusan aset dan penyelesaian infrastruktur. - DagangNews.com