KUALA LUMPUR 1 Ogos – U Mobile Bhd memperkenalkan tiga pakej U Biz Bundles terbaharu yang direka khas untuk merangsang transformasi digital perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selari dengan inisiatif kerajaan di bawah kempen Geran Digital PMKS Madani.
Melalui inisiatif ini, PMKS yang layak boleh menikmati subsidi sehingga 50 peratus atau maksimum RM5,000 untuk melanggan mana-mana pakej U Biz selama tempoh setahun.
Ketua Pegawai Perniagaan U Mobile, Neil Tomkinson berkata, pakej itu bukan sahaja menawarkan sambungan internet berkelajuan tinggi 5G, malah turut dilengkapi dengan peranti 5G percuma, penghala Wi-Fi serta perlindungan keselamatan siber berlapis di peringkat peranti.
“Terdapat tiga pilihan pakej U Biz Bundles ditawarkan untuk disesuaikan dengan keperluan berbeza setiap PMKS.
“Pertama ialah 5G Office Secure Bundle yang merangkumi jalur lebar perniagaan, keselamatan peranti mudah alih dan penghala Wi-Fi 6 5G pada harga RM39 sebulan; kedua ialah U Biz Secure Bundle yang menawarkan lima talian U Biz 98, lima perlindungan keselamatan peranti mudah alih dan dua telefon 5G percuma pada harga RM150 sebulan.
“Pilihan ketiga ialah U Biz Secure+ Bundle yang merangkumi satu jalur lebar perniagaan, lima talian U Biz 98, enam perlindungan keselamatan peranti mudah alih, dua telefon 5G percuma dan satu penghala Wi-Fi 6 5G pada harga RM180 sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, U Mobile berbangga dapat menyokong aspirasi kerajaan dalam mempercepat transformasi digital sektor PMKS dan pada masa sama menekankan kepentingan keselamatan siber dalam proses pendigitalan.
“Keselamatan digital merupakan aspek kritikal bagi memastikan daya tahan dan daya saing PMKS, seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
“Justeru, U Biz Bundles yang ditawarkan bukan sekadar menyediakan sambungan 5G pantas, malah turut merangkumi perlindungan siber menyeluruh,” katanya.
Tambahnya lagi, inisiatif ini mencerminkan komitmen U Mobile dalam membantu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara digital berpendapatan tinggi menerusi penyelesaian teknologi yang inovatif dan mudah diakses oleh semua peringkat perniagaan.
PMKS yang berminat untuk memohon boleh melayari laman rasmi www.u.com.my/en/business/sme/madani-bundle atau menghubungi wakil U Mobile di [email protected] bagi menyemak kelayakan serta memulakan permohonan bagi mendapatkan geran GDPM bermula hari ini.- DagangNews.com








