KUALA LUMPUR 24 Sept - TXCD Bhd (dahulunya dikenali sebagai Ageson Bhd) memaklumkan anak syarikat milik tidak langsung sepenuhnya, Ageson Kensetsu Sdn Bhd, telah menamatkan secara persetujuan bersama surat anugerah (LOA) daripada Mateen Group Sdn Bhd bagi projek reka bentuk, pembinaan dan penyiapan pangsapuri servis serta SOHO di Sepang, Selangor.
Penamatan berkuat kuasa 23 Sept itu dibuat atas permintaan Mateen Group selepas pelantikan pemaju baharu, Golden Chain Development Sdn Bhd.
TXCD menegaskan penamatan tersebut bukan disebabkan oleh sebarang kesalahan, kelewatan atau kegagalan prestasi pihak kumpulan.
Susulan itu, pada hari yang sama, Ageson Kensetsu menerima LOA baharu daripada Golden Chain Development untuk projek sama yang terletak di Lot 104160, Kawasan Rezab Melayu Kg Limau Manis, Mukim Dengkil.
Kontrak bernilai RM75.86 juta itu meliputi kerja cerucuk dan pembinaan bagi tempoh 30 bulan dari tarikh kelulusan pelan bangunan.
Ageson Kensetsu juga dikehendaki mengemukakan bon pelaksanaan bernilai RM3.79 juta untuk tempoh kontrak tersebut ditambah enam bulan.
“Lembaga berpendapat, penamatan LOA daripada Mateen Group dan penerimaan LOA baharu daripada Golden Chain Development adalah demi kepentingan terbaik kumpulan TXCD,” kata syarikat itu dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia.
TXCD turut menambah, jumlah kontrak baharu ini adalah lebih tinggi berbanding LOA terdahulu daripada Mateen Group dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih masa hadapan syarikat.
Golden Chain Development, yang ditubuhkan pada 2011, terlibat dalam pembangunan hartanah dan aktiviti perniagaan hartanah.
Pemegang saham tunggalnya ialah Datuk Sri Azlan Azmi, yang juga bertindak sebagai pengarah bersama Abdul Hafiz Mohd Yunus. - DagangNews.com








