KUALA LUMPUR 13 April – Keuntungan UUE Holdings berkemungkinan terjejas oleh kenaikan kos bahan mentah, ketidaktentuan geopolitik serta peningkatan kos operasi yang memberi tekanan kepada margin projek syarikat, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata faktor utama tekanan adalah turun naik harga resin polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) yang digunakan dalam pengeluaran paip utiliti, selain kesan tidak langsung daripada peningkatan kos tenaga global.
Selain itu, RHB Research berkata sumbangan segmen solar telah dikeluarkan daripada unjuran pendapatan syarikat berikutan prospek yang lemah yang menjadi antara faktor kepada semakan semula anggaran keuntungan.
“Walaupun begitu, UUE kekal berdaya tahan kerana mempunyai stok inventori bahan mentah bagi tempoh tiga hingga enam bulan serta keupayaan untuk memindahkan sebahagian kenaikan kos kepada pelanggan.
“Dalam masa sama, UUE Holdings terus mengukuhkan kedudukan dalam sektor kejuruteraan utiliti selepas memperoleh kontrak EPCC baharu bernilai RM16 juta melalui anak syarikatnya, Kum Fatt Engineering,” kata RHB Research dalam nota kajiannya hari ini.
Projek tersebut melibatkan kerja sistem 33kV dan voltan rendah (LV) bagi sebuah kilang di Tanjung Langsat Industrial Complex, Johor dengan tarikh siap dijadualkan pada 15 Disember tahun ini.
ARTIKEL BERKAITAN: UUE Holdings raih kontrak RM16 juta bagi sistem elektrik di Tanjung Langsat, Johor
Menurut RHB Research, walaupun margin projek itu dijangka lebih rendah berbanding margin biasa projek utiliti Tenaga Nasional Berhad, ia tetap dilihat penting dari sudut strategik kerana menandakan keupayaan UUE bergerak ke rantaian nilai lebih tinggi.
Tambahnya, kontrak tersebut turut menjadi antara penyumbang awal kepada pengukuhan buku tempahan syarikat yang dianggarkan sekitar RM592 juta setakat 30 November 2025.
Selain itu, firma penyelidikan itu berkata unjuran pendapatan UUE bagi tempoh FY26 hingga FY28 telah disemak turun, masing-masing sebanyak 0%, 14% dan 14%, susulan semakan nilai pengisian buku tempahan, pelarasan margin serta penghapusan sumbangan solar.
“Prospek pertumbuhan UUE Holdings turut disokong oleh jangkaan peningkatan perbelanjaan modal utiliti di rantau ini, khususnya daripada Tenaga Nasional Berhad serta SP PowerAssets di Singapura,” katanya.
Bagaimanapun, firma itu memberi amaran bahawa tekanan kos di Singapura mungkin lebih ketara berbanding di Malaysia kerana struktur kontrak yang kurang fleksibel untuk menampung kenaikan kos operasi.
Dari segi penilaian, saham UUE kini didagangkan pada sekitar 11.2 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) bagi unjuran dua tahun hadapan, lebih rendah berbanding purata rakan industri sekitar 13.3 kali, menjadikannya masih menarik dari sudut penilaian.
RHB Research mengekalkan saranan “Beli” ke atas UUE Holdings dengan harga sasaran baharu RM0.55, yang mencerminkan potensi kenaikan sekitar 31 peratus berbanding harga semasa.
Bagaimanapun, risiko utama yang dikenal pasti termasuk kegagalan mendapatkan kontrak baharu, kelewatan kelulusan projek serta kenaikan kos bahan mentah yang lebih tinggi daripada jangkaan. - DagangNews.com








