KUALA LUMPUR 12 Feb – Kerajaan yakin dapat menyelesaikan kes tunggakan lebihan cukai untuk tahun 2023 pada Februari ini, lebih awal berbanding sasaran pada suku pertama seperti yang dijanjikan sebelum ini, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Selain itu, beliau berkata semua tunggakan pada tahun 2024 pula dijangka dapat diselesaikan pada akhir tahun ini.
"Sebanyak RM56 bilion lebihan cukai telah dibayar semula oleh kerajaan sepanjang tempoh tiga tahun (2023-2025), iaitu 50% peratus lebih tinggi berbanding RM37 bilion pada 2020-2022.
"Bayaran balik bagi 2025 sahaja mencecah RM22.45 bilion, tertinggi dalam tempoh 5 tahun. Ini termasuk RM7.5 bilion yang dibayar pada Disember 2025, melebihi komitmen awal RM4 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Langkah ini menunjukkan kerajaan komited menyelesaikan tunggakan cukai dengan pantas dan berkesan,” katanya menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) di Parlimen hari ini.
Tambahnya, kerajaan juga telah menyelesaikan semua kes lebihan cukai bagi tahun 2022 dan 2023 lebih awal daripada jadual.
“Bagi tahun taksiran 2023, kerajaan berjanji untuk selesaikan pada suku pertama 2026 namun kita yakin dapat selesai lebih awal iaitu pada bulan Februari 2026.
“Sehinggan 10 Februari 2026, sebanyak RM5.4 bilion telah dibayar kepada 38,629 pembayar cukai. Bagi lebihan cukai tahun 2024, bayaran balik disasarkan untuk diselesaikan sebelum hujung tahun ini.
“Pada masa sama, bayaran balik tanpa mengira usia kes akan terus dibuat kepada semua pembayar cukai selain syarikat, terutamanya pembayar cukai individu,” katanya.
Pelbagai pendekatan dilaksanakan bagi memastikan pembayaran balik dibuat mengikut tempoh yang sepatutnya, termasuk pengagihan berdasarkan keutamaan usia tunggakan menggunakan konsep ‘first in first out’, pembayaran penuh bagi tunggakan lebihan cukai individu dan keutamaan kepada PKS atau syarikat yang menghadapi masalah aliran tunai.
Amir Hamzah berkata kerajaan komited memastikan bayaran balik lebihan cukai dilaksanakan sepenuhnya secara adil, telus dan saksama.
“Langkah ini melibatkan 3.7 juta kes pada tahun 2025 dan mencerminkan usaha berterusan Kerajaan untuk memperkukuh kecekapan pentadbiran cukai serta melindungi hak pembayar cukai, sejajar dengan agenda reformasi fiskal Kerajaan Madani,” katanya. - DagangNews.com








