KUALA LUMPUR 13 Mac - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong langkah kerajaan menyuntik dana RM1.1 bilion ke dalam Sapura Energy Berhad bagi mengelakkan kejatuhan syarikat itu memberi kesan kepada ekonomi dan tenaga kerja.
Negarawan itu berkata, bantuan kerajaan kepada syarikat yang bermasalah boleh dilakukan jika ia berdasarkan kajian menyeluruh dan mempunyai alasan kukuh untuk menyokongnya.
“Kalau mereka buat kajian dahulu dan ada sebab, (kerajaan) boleh bantu. Jangan kita bagi sesuatu syarikat itu mudah jatuh.
“Namun, kena tentukan wang yang diberikan itu digunakan dengan baik,” katanya kepada Sinar Harian ketika menghadiri program Iftar Ala Madinah @Karangkraf di Dataran Karangkraf pada Rabu.
Kehadiran beliau bersama isterinya, Tun Dr Hasmah Mohamad Ali juga bagi menyampaikan sumbangan kewangan daripada Koperasi Warisan Terengganu Berhad (KWAT) kepada 36 anak yatim sekitar Shah Alam.

Sapura Energy Berhad (SEB) memperoleh pelaburan RM1.1 bilion menerusi langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) pada nilai nominal oleh Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH).
Tambah Dr Mahathir, meskipun terdapat dakwaan bahawa peruntukan dana itu dilabel sebagai ‘bailout’, namun langkah berkenaan penting bagi menyelamatkan syarikat terutama mempunyai jumlah pekerja yang ramai.
“Mungkin ia adalah ‘bailout’ tetapi mana-mana syarikat pun kita perlu ‘bailout’ kerana kegagalan satu-satu syarikat memberi kesan, bukan sahaja kepada pemilik tetapi juga pekerja.
"Jadi kita kena fikir tentang masalah mereka juga,” katanya. - DagangNews.com








