TSR Capital menang kontrak RM34 juta projek tebatan banjir LPT Fasa 1 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TSR Capital menang kontrak RM34 juta projek tebatan banjir LPT Fasa 1

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 3 April — TSR Capital Berhad berjaya memperoleh kontrak infrastruktur terbaharu yang bernilai RM34 juta bagi projek tebatan banjir di kawasan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, TSR Bina Sdn Bhd menerima surat penganugerahan (LOA) daripada AFA Construction and Engineering Sdn Bhd.


Tender berkenaan bagi pakej 3B projek tersebut dengan skop kerja yang merangkumi pembinaan dan penyiapan kerja tanah, sistem perparitan, culvert serta kerja-kerja kejuruteraan awam berkaitan.


"Projek ini bertujuan meningkatkan pengurusan aliran air dan mengurangkan risiko banjir di laluan tersebut, sekali gus mengukuhkan kedudukan TSR Capital dalam segmen infrastruktur," tambahnya.


Projek dijadualkan bermula pada April 2026 dan dijangka siap menjelang suku keempat 2027, dengan Lembaga pengarah menyatakan kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada kumpulan itu.


Antaranya termasuk dari segi pendapatan dan aset bersih syarikat pembinaan berkenaan bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2026 serta sepanjang tempoh pelaksanaan projek tersebut.


Menurut TSR Capital, tiada risiko luar jangka dikenal pasti selain hanya risiko pelaksanaan operasi biasa dalam industri pembinaan, yang akan diurus melalui kawalan dalaman sedia ada.


"Selain itu, tiada kepentingan langsung atau tidak langsung daripada pengarah atau pemegang saham utama dalam kontrak tersebut, dan ia tidak memerlukan kelulusan pemegang saham," katanya.


Tender berkenaan turut dijangka memperkukuh buku tempahan kumpulan serta meningkatkan keterlihatan aliran hasil, selari dengan strategi perluasan dalam projek infrastruktur awam. - DagangNews.com