Trinasolar dari China bekalkan 530 modul Vertex N 710W bagi projek solar bumbung 376kW di Lapangan Terbang Subang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Trinasolar dari China bekalkan 530 modul Vertex N 710W bagi projek solar bumbung 376kW di Lapangan Terbang Subang

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Feb – Trinasolar, penyedia global rumusan fotovoltaik (PV) pintar dan storan tenaga, membekalkan 530 unit modul Vertex N 710W bagi projek pemasangan solar bumbung berkapasiti 376 kilowatt (kW) di bumbung bangunan penyelenggaraan pesawat milik ExecuJet MRO Services Malaysia di Lapangan Terbang Subang.

 

Syarikat dari China itu berkata pemasangan modul solar di kawasan lapangan terbang adalah tertakluk kepada kelulusan kawal selia yang ketat serta keperluan kawalan silau bagi memastikan keselamatan operasi penerbangan.

 

“Modul Vertex N yang digunakan dalam projek ini dilengkapi salutan anti-silau khas bagi mengelakkan pantulan cahaya yang boleh menjejaskan operasi penerbangan. 

 

“Teknologi tersebut turut membantu memaksimumkan penyerapan cahaya matahari bagi meningkatkan penjanaan tenaga,” katanya dalam satu kenyataan.

 

ExecuJet MRO Services Malaysia merupakan syarikat penyelenggaraan penerbangan perniagaan terbesar di negara Malaysia.

 

Bangunan miliknya di Lapangan Terbang Subang meliputi keluasan 149,500 kaki persegi, dengan kira-kira 110,000 kaki persegi ruang bumbung dimanfaatkan untuk pemasangan sistem solar.

 

Menurut Trinasolar, modul Vertex N dipilih bagi memaksimumkan penjanaan tenaga dalam ruang bumbung yang terhad. 

 

t

 

“Modul tersebut menggunakan teknologi sel n-type i-TOPCon yang menawarkan output kuasa dan kecekapan lebih tinggi. 

 

“Reka bentuk dwi-kaca turut membolehkan modul berkenaan menahan keadaan persekitaran mencabar termasuk haba dan kelembapan tinggi, selain rintangan terhadap garam, ammonia dan pasir, sekali gus memastikan prestasi jangka panjang dalam iklim tropika Malaysia,” katanya.

 

Selain itu, modul berkenaan menampilkan reka bentuk voltan rendah dan kuasa string yang tinggi, membantu mengurangkan kos keseimbangan sistem serta memudahkan pemasangan, khususnya di zon lapangan terbang yang mempunyai sekatan operasi.

 

Sementara itu, Pengarah Kumpulan Asia Selatan, Asia Tenggara dan Asia Tengah Trinasolar, Elva Wang berkata lapangan terbang merupakan antara persekitaran yang paling ketat dari segi keselamatan dan peraturan. 

 

Katanya, penggunaan modul Vertex N membolehkan kontraktor kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan (EPC), pemaju serta pengendali membangunkan sistem beroutput tinggi dalam ruang terhad sambil memenuhi keperluan teknikal dan operasi infrastruktur terkawal.

 

Trinasolar turut memaklumkan syarikat itu merupakan antara perintis dalam pemasangan sistem solar bumbung di lapangan terbang, dengan pelbagai projek telah dilaksanakan di China, Australia dan India.

 

Ditubuhkan pada 1997, Trina Solar ialah penyedia global penyelesaian PV dan tenaga pintar yang merangkumi penyelidikan dan pembangunan, pembuatan serta penjualan produk PV, pembangunan projek, kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan (EPC), operasi dan penyelenggaraan, serta pembangunan sistem mikrogrid pintar dan platform awan tenaga. - DagangNews.com