KUALA LUMPUR 9 Jan – Trend kenaikan harga emas berpotensi untuk terus kekal dan mungkin meningkat lebih tinggi, disokong oleh ketidaktentuan geopolitik global serta minat pelabur yang semakin meningkat, kata Pengarah Urusan Tomei Consolidated Bhd, Datuk Ng Yih Pyng.
Beliau berkata walaupun pergerakan harga emas lazimnya bersifat kitaran, aliran menaik semasa disokong oleh faktor struktur yang lebih kukuh, khususnya pembelian berterusan oleh bank-bank pusat di seluruh dunia.
“Bank pusat bukan pedagang. Selagi mereka tidak menjual pegangan emas, harga akan kekal disokong,” katanya kepada media pada pelancaran media Tahun Baharu Cina 2026 Tomei hari ini.
Pada pasaran semasa, harga emas spot meningkat 0.33% kepada AS$4,466.81 satu auns. Harga emas sebelum ini mencatat paras tertinggi rekod pada AS$4,549.71 satu auns pada 26 Disember lalu dan menutup tahun 2025 dengan kenaikan 64%, prestasi tahunan terbaik sejak 1979.
Beberapa penganalisis turut menjangkakan harga emas berpotensi mencecah AS$5,000 satu auns pada separuh pertama 2026, didorong oleh risiko geopolitik yang berlarutan serta peningkatan paras hutang fiskal global.
Mengulas kesan kepada prestasi kewangan, Yih Pyng berkata kenaikan harga emas telah membantu pendapatan Tomei dalam jangka pendek, namun menegaskan prestasi keseluruhan syarikat bergantung kepada pelbagai faktor lain selain jualan.
“Kami berharap harga emas akan menjadi lebih stabil dan kurang tidak menentu, namun perkara ini di luar kawalan kami. Dalam jangka panjang, harga lazimnya akan kembali seimbang,” katanya.
Dari segi pengembangan perniagaan, Yih Pyng berkata Tomei menjangkakan untuk memuktamadkan beberapa perjanjian pembukaan cawangan baharu dalam masa terdekat, walaupun kos sewaan yang meningkat menjadi cabaran utama kepada pembukaan kedai baharu.
Selain itu, syarikat turut merancang untuk melancarkan pelbagai promosi serta produk baharu sepanjang tahun, termasuk menjelang musim perayaan Hari Raya dan bersempena sambutan Tahun Melawat Malaysia.
“Kami mempunyai beberapa pelancaran menarik yang akan diumumkan kelak. Kami menjangkakan 2026 akan menjadi tahun yang menarik untuk Tomei,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Tomei melancarkan koleksi Tahun Baharu Cina 2026 bertemakan ‘The Bountiful Heart of the Horse’, yang menampilkan pelbagai rekaan baharu bagi memenuhi keperluan segmen pelanggan yang berbeza.
“Kami berharap Tahun Kuda akan menjadi tahun yang lebih baik dan kami yakin prospeknya positif, selari dengan pengenalan produk serta rekaan baharu yang lebih pelbagai,” tambah Ng. - DagangNews.com








