Transaksi 'beli sekarang, bayar kemudian' meningkat kepada RM7.1 bilion pada 2H2024 - Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Transaksi 'beli sekarang, bayar kemudian' meningkat kepada RM7.1 bilion pada 2H2024 - Amir Hamzah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Mac — Kaedah 'beli sekarang, bayar kemudian' atau BNPL menyaksikan peningkatan ketara dalam nilai transaksi pada separuh kedua 2024 (2H2024) berbanding tempoh enam bulan pertama sebelumnya, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
 

"Bagi separuh kedua itu, transaksi BNPL berjumlah RM7.1 bilion berbanding hanya RM4.9 bilion bagi separuh pertama 2024," katanya.
 

Beliau berkata demikian dalam jawapan Dewan Negara kepada soalan lisan Musoddak Ahmad pada Selasa.

 

Senator tersebut bertanyakan mengenai langkah kerajaan dalam usaha mengawal aktiviti agensi pemberi kredit bukan bank seperti perkhidmatan BNPL.
 

Amir Hamzah menjelaskan, setakat akhir Disember 2024, terdapat 5.1 juta pengguna BNPL yang aktif dengan majoritinya terdiri daripada golongan yang berumur antara 21 hingga 45 tahun dan pendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.
 

"Pada masa ini, terdapat 12 syarikat menawarkan skim BNPL di Malaysia," jelasnya dan menambah bahawa Kementerian Kewangan telah membuat bacaan kali pertama bagi Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) di Dewan Rakyat pada 4 Mac 2025.
 

Ia dicadangkan untuk dibentangkan pada mesyuarat yang akan datang dan merupakan salah satu usaha kerajaan mempertingkatkan perlindungan ke atas pengguna kredit di Malaysia dengan menyediakan rangka kerja pengawalseliaan menyeluruh.
 

Undang-undang bersepadu itu bakal meliputi industri pemberi kredit bukan bank seperti syarikat yang menawarkan BNPL, syarikat pajakan dan pemfaktoran serta pemberi perkhidmatan kredit seperti syarikat pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas, agensi pengutipan hutang serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
 

"Pemberi kredit dan pemberi perkhidmatan kredit dikehendaki mematuhi kepada keperluan pelakuan bagi memastikan mereka mengamalkan pemberian dan perkhidmatan kredit yang bertanggungjawab serta adil bagi melindungi pengguna kredit," kata Amir Hamzah.
 

Ini termasuklah melakukan penilaian kemampuan berhutang terhadap pengguna kredit dengan merujuk kepada kemampuan membayar balik hutang setelah mengambil kira semua komitmen kewangan, corak perbelanjaan dan sejarah pembayaran hutang bakal peminjam.
 

Di bawah Akta Kredit Pengguna itu katanya, penyedia BNPL mesti mematuhi piawaian etika dan standard pelakuan seperti yang ditetapkan termasuk ketelusan dalam yuran dan caj, terma kredit yang adil dan memberi peringatan yang kerap kepada peminjam mengenai pembayaran yang perlu diselesaikan.
 

"Sekiranya RUU ini diluluskan kelak, ia akan ditadbir oleh satu badan berkuasa berwibawa yang baharu iaitu Suruhanjaya Kredit Pengguna di bawah Kementerian Kewangan," kata beliau. - DagangNews.com