KUALA LUMPUR 5 Feb - TP Tec Holding Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM6.71 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, melonjak ketara berbanding RM3.63 juta pada tahun sebelumnya.
Menurut kumpulan tersebut, peningkatan prestasi keuntungan kali ini didorong terutamanya oleh pertambahan tempahan jualan yang diterima daripada pelanggan mereka sepanjang tahun tersebut.
Selain itu, syarikat yang diperbadankan pada 2024 tersebut melaporkan pendapatan sebanyak RM57.55 juta, mewakili kenaikan kira-kira 54.55% atau RM20.31 juta berbanding RM37.24 juta pada FY24.
"Sejajar dengan hasil yang lebih tinggi, TP Tec turut mencatatkan untung kasar sebanyak RM19.05 juta," maklumnya kepada Bursa Malaysia mengenai laporan kewangan separuh tahun kedua hari ini.
Jelasnya, keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan berkenaan, meningkat daripada hanya kira-kira RM12.31 juta pada tahun sebelumnya dengan margin untung kasar yang stabil iaitu paras 33.10%.
Segmen penyewaan katanya, kekal sebagai penyumbang terbesar dengan nilai perolehan RM51.51 juta, melibatkan penjana tenaga dan jentera ringan lain kepada syarikat telekomunikasi dan pembinaan.
Sementara segmen perdagangan pula tambah TP Tec, berjaya menyumbang pendapatan sebanyak RM4.35 juta melalui perdagangan produk penapisan, manakala segmen lain menjana hasil RM1.69 juta.
"Bagi prospek masa depan, Lembaga Pengarah kumpulan ini menyatakan keyakinan namun masih secara berhati-hati terhadap pasaran penyewaan jentera dan peralatan ringan di Malaysia," jelasnya.
Ujarnya, berdasarkan laporan penyelidikan pasaran bebas, segmen penyewaan penjana tenaga dijangka berkembang daripada hanya RM453.6 juta pada 2023 kepada RM680.0 juta bagi sepanjang tahun ini.
Pertumbuhan tersebut tambah TP Tec, bakal dipacu oleh permintaan daripada sektor telekomunikasi, pembinaan, pusat data (DC), serta peningkatan kemasukan dalam pelaburan asing dan domestik.
Setakat 31 Disember 2025, kumpulan itu menggunakan sepenuhnya dana RM2.5 juta daripada terbitan awam permulaan (IPO) untuk pengembangan segmen penyewaan dan perbelanjaan penyenaraian.
Di samping itu, syarikat berhasrat membina bangunan ibu pejabat baharu bernilai RM4.95 juta serta melaksanakan perubahan status tanah pegangan bebasnya kepada kegunaan industri. - DagangNews.com








