Touch ’n Go, Star Systems bukti kemampuan teknologi tol aliran pantas berbilang lorong | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Touch ’n Go, Star Systems bukti kemampuan teknologi tol aliran pantas berbilang lorong

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 Okt – Touch ’n Go Sdn Bhd bersama STAR Systems International (SSI) berjaya membuktikan kemampuan teknologi tol aliran pantas berbilang lorong atau Multi-Lane Fast Flow (MLFF) menerusi projek perintis (PoC) yang dilihat bakal merevolusikan sistem kutipan tol di Malaysia ke arah perjalanan tanpa palang dan lebih lancar.

 

Dalam projek ini, teknologi Titan Flow yang dibangunkan sepenuhnya di Malaysia telah disesuaikan dengan keperluan infrastruktur tol tempatan, disokong oleh 24 juta pengguna eKYC Touch ’n Go eWallet bagi memastikan pengesahan identiti yang selamat.

 

Dalam demonstrasi itu, SSI mempamerkan kepakaran global mereka melalui penggunaan Titan Pro reader dan antena Avior, disokong oleh pengawal lorong SIDRA PARSEC serta sensor canggih seperti Pengecaman Plat Nombor Automatik (ANPR) dan 3D LiDAR.

 

Teknologi ini telah disahkan di peringkat antarabangsa, termasuk untuk sistem tol E-ZPass di Amerika Syarikat dan diuji di trek ujian bertauliah OmniAir di Texas.

 

Ketua Pegawai Teknologi SSI, Stephen Lockhart berkata, Titan Pro dan Avior dibangunkan khas untuk sistem tol berkelajuan tinggi dan berbilang lorong. 

 

"Apabila digabungkan dengan platform Touch ’n Go dan sistem SIDRA, ia berjaya membuktikan pelaksanaan MLFF secara berkesan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

 

Penggunaan RFID kini merangkumi 21% daripada jumlah transaksi tol, menunjukkan keyakinan pengguna terhadap sistem tol digital tanpa sentuhan semakin meningkat. 

 

RFID akan terus menjadi tulang belakang kepada pelaksanaan sistem MLFF di seluruh negara.

 

Satu lagi pencapaian penting ialah kejayaan fitur SOS Balance yang dilancarkan tahun ini dan telah membantu lebih 13 juta pengguna melepasi tol meskipun baki tidak mencukupi. 

 

Setakat ini, RM39 juta telah dibayar kepada lebuh raya bagi pihak pengguna yang mengalami kekurangan baki – sekali gus menambah keyakinan pengguna terhadap platform ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Touch ’n Go, Praba Sangarajoo berkata, dengan pelaksanaan RFID di seluruh negara dan sistem yang sedia MLFF, pihaknya yakin menyediakan sistem kutipan tol yang lebih lancar, boleh dipercayai dan berpandangan ke hadapan. 

 

"Dibangunkan oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia – inilah komitmen kami dalam menggerakkan mobiliti negara,” katanya,

 

Beliau menambah, inisiatif MLFF ini seiring dengan agenda mobiliti digital negara, termasuk sistem pembayaran terbuka (open payment) yang membolehkan pengguna membayar tol menggunakan kad debit atau kredit di beberapa lebuhraya terpilih.

 

Touch ’n Go turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan kerajaan dan rakan industri dalam melaksanakan MLFF di seluruh negara serta memperkukuh keupayaan tempatan melalui pelaburan teknologi, ujian berterusan dan pembangunan bakat tempatan. - DagangNews.com